April 25, 2024

Search
Close this search box.

PEKAN, 16 Januari 2018 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui pusat kecemerlangan Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC) telah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Temai, Pekan, Pahang.

Program tanggungjawab sosial korporat ini dilaksanakan dengan pembekalan satu unit sistem bekalan air minuman bersih terawat mudah alih kepada mangsa banjir, guru-guru sekolah dan juga pasukan bantuan keselamatan di pusat penempatan mangsa banjir di sekolah tersebut yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur telah mengambil inisiatif mengenal pasti lokasi tersebut dan meminta pihak UTM untuk turut serta membantu mangsa banjir disana.

Program ini turut juga mendapat perhatian daripada Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang melawat dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir.

Baginda juga mengambil kesempatan untuk meminum air yang diproses daripada sistem rawatan air minuman bersih mudah alih berasaskan Teknologi Membran tersebut.

Sistem rawatan air mudah alih tersebut telah dibangunkan oleh penyelidik di UTM yang diketuai oleh Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail yang juga Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) melalui Skim Geran Penyelidikan Prototaip (PRGS) dan NBOS4 yang dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Sehingga kini pihak UTM telah menghasilkan sebanyak enam buah sistem rawatan air minuman bersih mudah alih berasaskan Teknologi Membran yang dibangun dan diselia sendiri oleh kakitangannya.

Sistem yang berkeupayaan menghasilkan 1000 liter air minuman bersih terawat sehari ini akan dipinjamkan kepada sekolah terbabit sehingga banjir surut dan pusat penempatan sementara mangsa banjir tersebut ditutup secara rasmi.

UTM telah membangunkan sebanyak enam unit sistem rawatan air minuman mudah alih semenjak tahun 2014. Antara negeri yang telah dibantu adalah di Ranau,Sabah (5000 penduduk), Tamparuli, Sabah (2000 penduduk), Kota Bharu, Kuala Krai & Tanah Merah, Kelantan (3000 penduduk) dan Pekan,Pahang (1000 penduduk).

Adalah diharapkan melalui pelaksanaan program ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mangsa banjir dan menjadi satu model dalam penyelesaian masalah bekalan air bersih semasa berlakunya bencana alam yang lain.

Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bergambar kenangan dengan kakitangan UTM.
Tunku Azizah Aminah menaiki bot melawat mangsa banjir di Pekan
Kakitangan Jabatan Pertahanan Awam dan UTM mengangkat komponen mesin penapis air terawat mudah alih UTM di Sekolah Kebangsaan Temai, Pekan.
Perkarangan Sekolah Kebangsaan Temai yang menjadi pusat penempatan sementara mangsa banjir di Pekan

Explore More