April 17, 2024

Search
Close this search box.

Revolusi Industri 4.0 beri pelbagai kesan pada kehidupan

 

KEHADIRAN Revolusi Industri 4.0  (Industri 4.0) yang menekankan pembinaan teknologi realiti maya tanpa banyak menggunakan tenaga manusia pasti memberikan kesan terhadap pelbagai aspek kehidupan.

Pengarah UTMCC, Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim diwawancara oleh Mohd Hafizan Hamzah mengenai Revolusi Industri 4.0.di pejabatnya, baru-baru. 

Dalam konteks ini, pendidikan tinggi adalah antara bidang cukup penting yang tidak ketinggalan menerima impak perkembangan terbaru ini.

Pengarah Pusat Kerjaya Universiti Teknologi Malaysia (UTMCC), Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim berkata kemunculan Industri 4.0 adalah satu perkembangan terbaru yang memberikan kesan kepada ramai terutamanya pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Kewujudan IPT khasnya Instituti Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara secara amnya bagi menghasilkan modal insan yang berkualiti bagi mengisi kekosongan tenaga kerja pada masa hadapan.

“Secara amnya, sebagai pusat penghubung bidang kerjaya antara mahasiswa dan juga industri, UTMCC telah bersedia dalam menghadapi keadaan ini,” katanya.

Dr. Othman berkata bagi mengadaptasikan Revolusi Industri 4.0 dalam dunia pekerjaan bakal mahasiswa, UTMCC telah melakukan pelbagai transformasi dan nilai tambah bagi meningkatkan lagi impaknya sebagai pusat kerjaya universiti.

“Kami telahpun mendapat pengiktirafan dari Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) dan kini bergelar Pusat Kerjaya Digital UTM (UTM Digital Career Centre).

“Pengiktirafan ini diberikan berdasarkan kepada beberapa kriteria yang ditetapkan seperti jalinan kerjasama dengan industri dengan menggunakan beberapa aplikasi digital seperti Job4U, Job On Campus (JoC), Industrial Training System (ITS), TAJMA Psychometric Plus Online System (TP+) dan juga lain-lainnya,” katanya.

 

Kesan Industri 4.0 terhadap industri pekerjaan tempatan

Mengulas lanjut mengenai kesan Industri 4.0 ke atas penggunaan tenaga kerja tempatan, Dr. Othman berkata kumpulan menengah rendah akan menjadi kumpulan paling terjejas kerana secara perlahan menjadi kelompok yang tidak diperlukan dalam ekonomi.

“Kumpulan menengah rendah ini lebih mudah diganti dengan robot dan sistem kerana mereka tidak mempunyai ‘tacit knowledge’ yang boleh ditawarkan kepada majikan dan ekonomi secara keseluruhannya.

“Akibat diganti dengan peralatan komputer dan komunikasi digital lainnya, kumpulan ini akhirnya akan terpinggir dalam sistem ekonomi baru ini,” katanya.

Berbeza dengan kumpulan berpendapatan rendah meskipun statusnya sama dengan kumpulan berpendapatan sederhana tetap mempunyai beberapa perbezaan positif dengan kebanyakan mereka mengekalkan pekerjaan masing-masing.

“Kumpulan pendapatan rendah ini akan terus mendapat perhatian dan simpati kerajaan dan industri mengenai nasib mereka. Pelbagai dasar dan polisi akan dirangka oleh pihak kerajaan bagi mengekalkan pekerjaan mereka.

“Perkara ini berlaku di atas sebab bahawa robot dan teknologi automasi tidak akan mampu untuk melakukan pekerjaan golongan ini seperti tukang sapu, tukang cuci dan juga membasuh tandas,” katanya lagi.

 

Persediaan Malaysia bagi menghadapi Industri 4.0

Kehadiran Industri 4.0 pasti berlaku dan kesannya pasti akan dirasai oleh seluruh dunia termasuklah Malaysia.

Dr. Othman berkata dari aspek persediaan kemahiran, Malaysia masih terkebelakang berdasarkan kepada fakta bahawa masih banyak elemen-elemen penjanaan ekonomi dan perindustrian masih dilakukan secara manual.

“Walaubagaimanapun kemunculan Industri 4.0 ini juga membawa sinar positif bagi mereka yang tahu memanfaatkannya. Penghijrahan ke teknologi perdagangan alam maya atau e-commerce bakal membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk rakyat Malaysia.

“Dengan wujudnya peluang perniagaan gaya baru ini, setiap individu di Malaysia boleh menjual dan membeli barangan melalui aplikasi tertentu dengan kos yang lebih murah berbanding di kedai,” katanya.

Pihak kerajaan juga boleh mewujudkan Rancangan Malaysia khusus untuk 30 tahun ke hadapan sempena Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi memperincikan bagaimana masyarakat Malaysia memanfaatkan perkembangan revolusi ini  dalam mengatur ekonomi, perindustrian, perdagangan dan cara kehidupan.

 

Pengarah UTMCC, Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim di pejabatnya di UTMCC kampus Johor Bahru.

 

 

Explore More