April 25, 2024

Search
Close this search box.

Perjumpaan Merdeka: Semangat dan Komitmen Untuk Masa Depan Negara

JOHOR BAHRU, 16 Disember 2017 – Enam pemenang Anugerah Merdeka telah berkongsi pandangan mereka berkenaan keadaan dan masa depan pendidikan dan penyelidikan sains di Malaysia semasa program Perjumpaan Merdeka yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru.

Antara penerima Anugerah Merdeka (dari kiri) Profesor Ulung Datuk Dr Harith Ahmad, Profesor Dato’ Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor.

Program yang buat julung kalinya diadakan tersebut dianjurkan secara bersama oleh Akademi Sains Malaysia, Sekretariat Anugerah Merdeka dan Universiti Teknologi Malaysia.

Pada program tersebut juga, mereka juga berkongsi ilmu, kepakaran, pengalaman dan praktis  kecemerlangan bersama lebih 80 orang saintis dan bakat muda negara.

Enam pemenang Anugerah Merdeka yang terlibat adalah Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor FASc, Profesor Dato’ Dr Ahmad Fauzi Ismail FASc, Profesor Datuk Dr Halimaton Hamdan FASc, Profesor Datin Paduka Dr Khatijah Mohd Yusoff FASc, Profesor Ulung Datuk Dr Harith Ahmad FASc and Profesor Dato’ Ir Dr Wan Ramli Wan Daud FASc.

Profesor Datuk Dr Asma berucap di majlis perasmian.

Program yang berlangsung sepanjang satu hari itu membabitkan sesi Ucaptama Merdeka, Syarahan Merdeka, Dialog Merdeka serta Kelas Merdeka.

Presiden ASM, Profesor Datuk Dr Asma Ismail berkata, program itu adalah platform terbaik bagi saintis dan bakat muda bersama-sama pemenang Anugerah Merdeka untuk berbincang dan berkongsi maklumat, idea, pengalaman serta hasil penyelidikan bagi memartabatkan aspirasi kecemerlangan negara.

“Selain itu, peserta juga disarankan supaya meneruskan hubungan yang sedia terjalin semasa program ini kepada tahap kerjasama yang seterusnya,” katanya semasa merasmikan program berkenaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sabtu lalu.

Beliau berkata, model program Perjumpaan Merdeka menyamai program Perjumpaan Lindau yang secara tahunan menemukan pemenang Anugerah Nobel dan komuniti saintifik muda daripada seluruh dunia.

“Saban tahun, Malaysia telah menghantar penyertaan saintis muda negara untuk menghadiri Perjumpaan Lindau.

“Menerusi penyertaan yang terhad, program Perjumpaan Merdeka  turut menawarkan platform yang sama matlamatnya kerana negara juga mempunyai tokoh tersohor sepertimana pemenang Anugerah Merdeka,” katanya.

Sementara itu, Maria Zainal, yang mewakili Sekretariat Anugerah Merdeka, dalam ucapan aluannya berharap supaya penganjuran program Perjumpaan Merdeka membolehkan legasi kecemerlangan negara melalui sains, teknologi dan inovasi dapat terus dilestarikan dengan berlakunya pemindahan ilmu antara generasi dalam komuniti saintifik tempatan.

 

Explore More