April 16, 2024

Search
Close this search box.

23 Pelajar UTM Selami Budaya Tempatan

JOHOR BAHRU, 31 Disember 2017 – Seramai 23 pelajar antarabangsa dan tempatan menyertai program pertukaran budaya bertemakan Cultural Exchange Program via Explorace Challenge telah diadakan selama tiga hari mulai 22 Disember lalu bertempat di Kampung Teminin Baru, Kota Tinggi, Johor.

antara pelajar yang mengambil bahagian dalam program pertukaran budaya.

Program itu dianjurkan oleh Kolej Datin Seri Endon (KDSE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama UTM Antarabangsa (UTMi), membabitkan 23 orang peserta yang terdiri dari negara China, Filipina, Sudan, Turki, Pakistan, Turkmenistan dan Bangladesh telah menyertai program ini.

Mereka diserahkan kepada lapan keluarga angkat oleh Ketua Kampung Teminin, Hj Rahmat Bin Ibrahim.

aktiviti memasak turu diadakan.

Pengarah program, Nuradila Ahmad berkata, beliau amat bersyukur kerana dapat melaksanakan program itu dengan jayanya di samping mengetengahkan kebudayaan Malaysia, khususnya budaya Melayu Johor, di peringkat antarabangsa.

“Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ialah menyaksikan keindahan kelip-kelip dengan menyusuri Sungai Johor selama 30 minit, mencanting batik, gotong-royong kenduri kahwin seperti menyediakan makanan bagi pengunjung dan menyaksikan adat ‘tol’ yang merupakan keunikan budaya Johor.

Pelajar antarabangsa mencuba permainan boling buah kelapa.

“Peserta turut tidak ketinggalan dalam menyertai permainan sukan tradisional seperti tarik upih, tolak rim basikal, boling buah kelapa, batu seremban dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, peserta turut menyertai program khidmat masyarakat dengan mengecat Balai Komuniti dan mengadakan khidmat komuniti landskap dengan menanam beberapa batang pokok puding di kawasan yang telah disediakan.

Tambahan pula, kemeriahan malam kebudayaan dan sesi perkongsian keunikan negara oleh setiap peserta amat menarik perhatian penduduk kampung untuk turut bersama dalam program ini.

Majlis penutup telah dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Dato Seri Paduka Dr. Adham Bin Baba dan turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Pengetua Kolej-Kolej Kediaman UTM, Prof. Madya Dr. Abdullah Sani, .

Sementara itu, Pengetua Kolej Datin Seri Endon (KDSE) Dr. Liza Md Salleh merangkap Penasihat program berkata, beliau amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan UTMi untuk menganjur program berkenaan.

“Kerjasama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberi peluang kepada pelajar tempatan dan antarabangsa agar saling memahami budaya negara masing-masing serta bertukar pendapat,” katanya.

 

Pelajar menyertai khidmat masyarakat dengan mengecat bangunan pusat komuniti.

 

 

Explore More