April 24, 2024

Search
Close this search box.

Schlumberger sumbang perisian kejuruteraan kepada UTM

JOHOR BAHRU, 16 November 2017 – Jabatan Kejuruteraan Petroleum, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga Diperbahrui (FKT) telah menerima sumbangan lesen perisian daripada syarikat kejuruteraan petroleum terkemuka, Schlumberger WTA (Malaysia) Sdn. Bhd.

Perisian yang disumbangkan adalah berkaitan dengan kejuruteraan petroleum yang bernilai USD 11.3 juta (RM48 juta) bagi kegunaan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan juga Pengajaran dan Pembelajaran.

Mantan Ketua Jabatan Kejuruteraan Petroleum, Dr. Mohd. Zaidi Jaafar berkata lesen berkenaan terdiri dari 35 tajuk modul dengan kuantiti keseluruhan sebanyak 300 unit.

“Lesen tersebut mengandungai beberapa modul penting dalam bidang kejuruteraan petroleum, antaranya adalah modul Field Development Plan (FDP), Olga dan juga ECLIPSE yang digunakan secara meluas dalam bidang ini.

“FDP sebagai contohnya adalah modul utama yang digunakan bagi membangunkan medan carigali minyak manakala Olga digunakan oleh jurutera petroleum bagi membina saluran paip bawah tanah,” katanya.

Menurutnya, perisian yang didermakan itu boleh memberikan kelebihan dalam pelbagai aspek kepada mahasiswa dan juga UTM.

“Menerusi beberapa modul yang biasa digunakan oleh jurutera petroleum, UTM boleh membiasakan mahasiswa jurusan kejuruteraan petroleum menggunakan perisian ini dalam kuliah-kuliah akademik yang diadakan.

“Tindakan ini sekaligus dapat mengeluarkan graduan berkualiti yang menepati kehendak semasa industri pekerjaan dalam bidang carigali minyak dan gas yang amat dinantikan oleh pihak majikan,” katanya.

Sebagai Universiti Penyelidikan (RU), UTM boleh menggunakan perisian itu bagi melaksanakan projek R&D dalam bidang kejuruteraan petroleum dan seterusnya menjalinkan kerjasama teknikal dengan syarikat- syarikat petroleum seperti PETRONAS dan sebagainya.

Dr Zaidi berkata, terdapat banyak lagi faedah yang bakal dinikmati oleh UTM dengan adanya perisian itu, antaranya penjimatan kos dalam pembuatan projek ‘modelling’ dalam makmal.

“Dengan adanya perisian ini, pembantu makmal tidak perlu lagi mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli bahan-bahan mentah untuk keperluan projek.  Memadai dengan menggunakan perisian dalam komputer.

“Perisian ini juga membolehkan UTM menyahut saranan kerajaan yang sedang dalam usaha untuk menggalakkan lagi Revolusi Industri 4.0 di samping melakukan pelaburan bagi graduan yang akan datang,” katanya lagi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Explore More