April 25, 2024

Search
Close this search box.

Pengalaman kerja Prof. Dr Kamariah Ismail di UTM

Saya mula berkhidmat di UTM pada 22/2/1985 sebagai Penolong pendaftar. Memulakan khidmat pertamanya di UTM  Jalan Gurney (jalan Semarak) KL sehinggalah pada tahun  1989 saya diarahkan berpindah ke kampus  utama UTM Johor Bahru.  Semasa berkhidmat di Kuala Lumpur  saya merupakan penolong pendaftar pertama ditugaskan di Unit Penyelidikan dan Perundingan (UPP). Bos pertama saya adalah Prof. Dr Mohammad Amin Alias. Di unit tersebut, saya   di amanahkan menguruskan rekod penyelidik yang mendapat geran penyelidikan, laporan penyelidikan  dan kerja perundingan pensyarah. Tugas saya juga termasuk  menguruskan penerbitan hasil dari penyelidikan pensyarah.  Pendek kata tugasnya adalah lebih kurang sama dengan pejabat RMC dan pejabat penerbit sekarang (cuma penerbitan dan perundingan tidak banyak ketika itu). Saya sentiasa mencuba kaedah dan strategi baru dalam pengurusan  pejabat. Dari sana lah saya belajar sendiri  (melalui buku- sudah lupa nama bukunya) membuat pengkalan data penyelidik memandangkan penyelidik makin bertambah dan mereka yang mendapat geran makin meningkat  ( kawan kawan – masa itu komputer baru diperkenalkan – istilah pengkalan data masih baru, apalah lagi saya berlatarbelakang ekonomi dan pengurusan. Masa itu tidak ada CICT- semua terjah sendiri) . Seronok bila melihat hasilnya.  Laporan penyelidik saya boleh print mengikut format saya sendiri (terasa bangga sendiri- saya dapat trace siapa yang belum hantar laporan- saya kejar mereka).

 

Semasa menjalankan tugas sebagai penolong pendafar  pada pertengahan  tahun 1985 saya ditawarkan menjadi tutor di Fakulti Ukur (FGHT sekarang)  tetapi syaratnya saya dikehendaki  terus berpindah ke Johor  dan meneruskan pengajian dalam bidang Sarjana. Memandangkan “Johor” pada masa tersebut terasa negeri asing bagi saya, jawatan tersebut saya tolak begitu sahaja. Maklum saja, baru graduate rasa macam katak bawah tempurung- bekerja di UTM KL terasa sudah jauh dari keluarga.

 

 

Pada tahun 1989, saya diarahkan pindah ke Johor (masa itu saya sudah berkahwin- perasaan jakun dan takut sudah tidak ada). Semasa di Johor, saya  di amanahkan menjadi urusetia Senat, dari tahun 1989-1990. Pada tahun 1990/91 saya mengikuti suami melanjutkan pelajaran di Granfield UK. Tidak berapa lama, saya juga mendaftar sebagai pelajar MBA di University Cardif, yang jauhnya lebih kurang 450 batu dari Granfield.  Saya tidak mampu sambung belajar di Granfield Universiti, kerana yurannya tiga kali ganda lebih tinggi dari Cardiff ( Granfield Uni adalah Uni swasta).  Saya tinggal berasingan dengan suami. Mulanya yuran pengajian  saya bayar sendiri hasil dari simpanan saya yang tidak seberapa. Oleh kerana nekad hendak belajar, saya menulis surat ke MARA, Alhamdullilah meraka luluskan permohonan untuk menanggung yuran pengajian sahaja. Makan dan sewa rumah saya terpaksa ikat perut dari simpanan saya.   Tempuh pengajian MBA hanya setahun. Setiap minggu ada assignment. Keperitan  hidup menghimpit saya setiap hari.  Keperitan dan kepayahan belajar  (first time belajar di luar negara) menjadi saya sentiasa bersyukur diatas peluang  diberi  dan cekal hati.

 

Selepas tamat belajar, saya balik ke Malaysia dan di tugaskan ditempat yang sama, menjadi urus setia senat dari 1991-1997.  Apabila pulang, saya cuba menuntut yuran pengajian MBA dari UTM untuk dibayar ke MARA. Alhamdullilah UTM menyokong saya dan yuran tersebut dilangsaikan oleh UTM. Saya tidak berhutang dengan MARA. Terima kasih UTM. Saya mula diminta mengajar Partime di Fakulti Ukur  dan Geoinformasi (FGHT) ,  dan FFFSM  (FM) selepas pulang dari Master.  Saya terasa tergugat dan tercabar apabila beberapa orang ahli senat pulang dengan Phd ingatkan saya supaya  meletakkan “Dr” dihadapan nama mereka di dalam senarai ahli senat. Menurut mereka bukan senang hendak dapatkan PhD. Diri terasa kecil  dek kekurangan ilmu dan  perasan ingin tahu “susah sangat ke hendak dapatkan Phd? makin membuak.

 

Setelah lima  tahun saya di urusetia senat, saya dapati banyak keputusan yang telah dibuat  oleh ahli senat  sukar untuk dirujuk kembali. Mereka sentiasa membahaskan pekara yang sama untuk diputuskan (dulu mesyuarat senat sampai satu hari. Siap dengan makan tengahari) . Saya dengan iniatiatif  pelajar tahun akhir dari Fakulti komputer pada tahun 1995 (lebihkurang) telah mengumpulkan semula minit senat yang 5 tahun yang lepas dan menjadikan ianya senang di rujuk . Pelajar tersebut telah jadikan projek tersebut sebagai PSM beliau. Saya kelaskan minit mesyuarat lepas  dan semasa mengikut thema untuk senang dirujuk kembali dan semuanya di digitalkan. Selepas selesai projek tersebut saya berpindah ke Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia pada tahun 1997 (Fakuti Pengurusan) sebagai pensyarah. Pn Azizah  Ismail yang menggantikan tempat saya meneruskan dan membuat penambahbaikan keatas system tersebut.  Sehingga sekarang  semua minit mesyuarat  penting di UTM di digitialkan. Suasana pembelajaran  di UTM dan kehebatan Professor UTM mendorong dan meledakan semangat saya  untuk menyambung pelajaran  ke peringkat PhD.

 

Dengan izin Allah saya berjaya  melanjutkan ke peringkat PhD pada tahun 2003 di University of Strathcylde Glasgow, UK diatas biasiswa SLAB. UTM pula membayar bantuan sara hidup untuk  saya dan keluarga. Terima kasih sekali lagi UTM yang sentiasa menyokong saya. Tajuk penyelidikan saya adalah “Commercialisation of University Patent “ di HUNTER CENTRE FOR ENTREPRENEURSHIP, University Of Strathcylde. Kajian kes dan pengumpulan data dibuat sepenuhnya di UK.  Bermula dari sinilah saya mempelajari banyak pekara baru mengenai commercialization, harta intelek,  SMEs, innovation and Technopreneurship.  Supervisor saya Prof Colin Mason  dan Prof Sarah Cooper sangat membantu, dan humble.  Dalam menyiapkan Phd, masa, kesungguhan, kesabaran  dan disiplin sangat penting. Ditambah lagi bidang yang saya study, tiada satu pun kajian di Malaysia dan sangat kurang di Asia  dilakukan pada ketika itu. Beliau banyak menghubungkan dengan inventor dan akademik entrepreneur yang berjaya untuk di jadikan kes study saya. Saya menjelajah dari Edinburgh hingga ke Souhthampton untuk interview Technology Transfer Office (kalau UTM ICC), academic entrepreneurs yang berjaya dan inventors yang tidak berjaya mengkormerlisasikan produk mereka. Alhamdullilah, Allah memudahkan urusan saya. Semuanya berjalan sangat lancar.  Setengah Pengarah TTO  datang berjumpa saya di London untuk menjimatkan wang dan  masa saya sekirannya saya travel sampai ke Souhthampton di selatan UK.  Setengah TTO dan inventor datang ke pejabat/ Hunter Center tempat saya study PhD untuk saya interview mereka. Lain sungguh budaya mereka kalau dibandingkan dengan budaya kita. Mereka bangga berkongsi kejayaan dan kegagalan mereka.

 

Balik dari Phd tahun 2007, hasrat saya ingin meneruskan kajian yang sama di Malaysia. Saya membuat temujanji dengan arwah  Dato Marzuki, bekas TNCPI pada 2010. Beliau terus melantik saya menjadi Timbalan Pengarah ICC, sebab ianya baru ditubuhkan dan sedang mencari seorang  Timbalan Pengarah  kormersilisasi. Alhamdullillah UTM memberi kepercayaan kepada saya untuk mempraktiskan ilmu yang telah saya timba.  Saya menggunakan ilmu yang di berikan Allah untuk membantu UTM dalam menyiapkan polisi kormersilisasi UTM, menyediakan polisi cuti Keusahawanan  kepada potensi academic entrepreneurs, menyediakan panduan menubuhkan syarikat Spin off, menyiapkan INNOCOM scoring untuk menilai potensi teknologi bagi meningkatkan bilangan Spin-off demi mencipta kekayaan kepada  UTM dan negara tercinta Malaysia.  Semua sistem  tersebut  masih diguna pakai sehingga sekarang dan banyak universiti tempatan lain datang menimba ilmu dengan UTM( ICC).

 

Dalam pada masa yang sama saya  telah mencadangkan kepada UTM supaya satu Pusat Keusahawanan Teknologi untuk pelajar ditubuhkan. Ianya dengan resmi ditubuhkan   pada bulan Mei 2013 dan sekarang  pada September 2017 dikenali sebagai  Pusat Inovasi Mahasiswa  dan Keusahawanan Teknologi (UTMXCITE)  untuk membantu melahirkan pelajar berfikiran keusahawanan, kreatif dan juga melahirkan usahawan pelajar.  Menjadi pengarah PUsat Keusahawanan Teknologi pada 2010- 2017, Saya banyak mengadakan hubungan dengan SMEs , industri dan agensi  kerajaaan demi menjayakan agenda tersebut.  Kami Berjaya membawa program SME@UTM, TUBE bersama SMECorporation, JCorp dengan BIzSiswazah, KPT  dengan program Siswapreneur, LURE, (Learn, Unlearn, Relearnt Entrepreneurship) dan PPRN, MDeC dengan young Innovate dan IOT.  Bilangan usahawan siswazah pula makin ramai dilahirkan.

 

Pengalaman menimba PhD, menguruskan ICC dan UTMXCITE, kepakaran saya dikenali dan diiktiraf oleh MOSTI, KKW, SMECorp , KPT dan juga UTM sendiri. Saya sentiasa menerima peruntukan bagi menjalankan aktiviti keusahawanan, penyelidikan  dan juga kerja perundingan yang  diperolehi dari agensi tersebut demi membantu saya dan team  menyumbangkan kepada UTM dan negara tercinta.

 

Sambil menunggu hari persaraan saya yang hanya tinggal tiga tahun lagi (2020) saya merasakan lebih banyak lagi pekara yang perlu saya sumbangkan kepada masyarakat.  Saya doakan supaya Allah berikan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk saya terus menyumbang selagi hayat dikandung badan. Terimakasih yang tidak terhingga kepada UTM dan kerajaan Malaysia yang telah membantu mengubah diri saya yang ‘introvert’ kepada ‘extrovert’.

Sebelum akhiri kata, saya ingin menegaskan “setiap manusia berhak menjadi hebat. Kita yang memberi makna kepada hidup kita. Kita yang menentukan kehebatan kita. Sentiasa berfikiran positif dan  sentiasa bertanya pada diri sendiri ‘apa sumbangan kita kepada masyarakat”? bukan sebaliknya.

 

 

Tarikh 28/11/17

Explore More