April 25, 2024

Search
Close this search box.

UTM-ACS anjur forum pencemaran CEC

JOHOR BAHRU, 20 November 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Persatuan Kimia Amerika (ACS) menganjurkan forum pencemaran air bertajuk ACS Global Innovations Imperatives (GII) Forum on Contaminants of Emerging Concern (CEC).

Prof. Fauzi merasmikan pembukaan forum anjuran UTM-ACS mengenai pencemaran CEC di FBME, UTM Johor Bahru.

Forum dua hari itu mendapat kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed) dan Akademi Sains Malaysia (ASM).

Penyelaras Program, Dr. Mohd Firdaus Abdul Wahab berkata, forum itu adalah yang pertama diadakan di UTM khasnya dan Malaysia amnya.

Menurutnya, banyak bahan kimia baru telah diperkenalkan bagi tujuan pertanian, perindustrian, kegunaan rumah dan penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Selain faedah kepada kehidupan, bahan yang dikenali sebagai CEC boleh memasuki dan kekal dalam persekitaran akuatik yang menyumbang kepada banyak kejadian pencemaran berkaitan dengan air dan berpotensi membahayakan kesihatan manusia.

“Oleh yang demikian, penganjuran forum ini bertujuan bagi membincangkan ancaman yang berpotensi untuk ditimbulkan oleh CEC di Malaysia terutamanya di Johor, “katanya.

Dr. Mohd Firdaus berkata, demikian selepas majlis pelancaran forum UTM-ACS oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail di Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan (FBME).

Beliau berkata, keadaan negeri Johor yang sedang pesat membangun merupakan titik permulaan yang sempurna untuk  penetapan inisiatif bersepadu yang lebih sistematik dan konstruktif dalam aspek pengurusan CEC di negara ini.

Berikutan itu, perbincangan mendalam akan diadakan pada 21 November ini di NUMed yang membabitkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk merumuskan cadangan yang akan menjadi dasar masa depan untuk menangani masalah berkenaan.

Explore More