April 19, 2024

Search
Close this search box.

UTM terima anugerah pencapaian pengurangan pelepasan karbon

JOHOR BAHRU, 15 Oktober 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dipilih sebagai penerima anugerah Pengiktirafan Diamond (Diamond Recognition) bagi pencapaian pengurangan pelepasan karbon sebenar yang dicapai.

Profesor Dr Khairul Annuar (dua dari kiri) dan perwaklilan dari UTM bergambar bersama Datuk Seri S.K. Devamani.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri S.K. Devamani di majlis LCCF Award Recognition Ceremony & LCCF Implementation Experience Sharing Session di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Profesor Dr Khairul Annuar Kassim mewakili UTM menerima anugerah berkenaan.

LCCF Award Recognition Ceremony diadakan bertujuan meraikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBA) dan universiti yang telah mengorak langkah ke arah pembangunan bandar dan kampus rendah karbon.

Selain UTM, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Universiti Malaya adalah penerima kategori berkenaan.

Satu lagi pengiktirafan Sijil Sementara LCCF (Provisional Certificate LCCF) diberikan kepada PBT yang telah berjaya menyiapkan Baseline assessment.

Dalam Konvensyen United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC): COP21/CMP11 pada Disember 2015 di Paris, kerajaan Malaysia telah mengumumkan komitmen untuk mengurangkan tahap pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030.

Pengurangan sebanyak 35 peratus adalah secara sukarela dan 10 peratus lagi bersyarat dan tertakluk kepada penerimaan bantuan kewangan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti daripada negara maju.

Bandar Rendah Karbon merupakan konsep perbandaran yang baharu di Malaysia, namun di negara-negara lain seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat merupakan sesuatu yang telah lama dipraktikan.

Di Australia dan Kanada sebagai contoh, Bandar Rendah Karbon dikenali sebagai Bandar Mapan (Sustainable Cities) di mana bukan sahaja aspek pengurangan karbon diberi penekanan tetapi aspek “livability”.

Di kawasan Asia pula, terdapat beberapa negara yang kini memberi penekanan kepada Bandar Rendah Karbon seperti Bandar Sifar Karbon Masdar United Arab Emirate (UAE), Low Carbon Model Town di Tianjin Financial District, China dan Yokohama di Jepun.

Semasa berucap membentangkan bajet 2010, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menyatakan hasrat beliau untuk melihat pembangunan Bandar Teknologi Hijau di Putrajaya dan Cyberjaya sebagai pelopor kepada perbandaran lain di Malaysia.

Sementara itu, KeTTHA yang ditubuhkan pada tahun 2009 telah diberikan mandat untuk melaksanakan pelbagai langkah pembangunan dan peluasan aplikasi teknologi hijau di Negara kita.

Antaranya, peluasan Bandar Rendah Karbon melalui pemakaian sistem Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) yang berfungsi sebagai garis panduan kepada pembangunan bandar rendah karbon.

LCCF adalah merupakan satu rangka kerja pembangunan rendah karbon yang sistematik dibangunkan oleh KeTTHA bersama Malaysian Technology Malaysia (MGTC) untuk diguna pakai oleh PBT dan pemaju projek di Malaysia.

LCCF telah dibentangkan di Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim dilancarkan oleh Datuk Seri Najib semasa “International Green Tech and Eco Products Exhibition and Conference (IGEM)” 2011.

LCCF terbahagi kepada dua bahagian iaitu rangka kerja dan sistem penilaian. Ianya adalah “performance-based system” yang menilai jejak karbon (Carbon Foot Print) sesebuah pembangunan dari empat elemen utama iaitu “Urban Environment, Urban Infrastructure, Urban Transportation and Buiding”.

Ianya mempunyai mekanisma carbon tracking melalui ‘LCCF Track’ yang boleh dicapai oleh pihak PBT melalui internet bagi memudahkan organisasi menjejaki jejak karbon mereka secara sistematik dan teratur.

Sehingga 2017, sebanyak 23 PBT dan dua unversiti telah melaksanakan LCCF.

Menjelang 2020 KeTTHA dan MGTC telah mensasarkan sebanyak 52 buah PBT berstatus perbandaran melaksanakan pembangunan bandar rendah karbon menggunapakai LCCF.

Explore More