April 25, 2024

Search
Close this search box.

Mantan Menteri Pendidikan Nasional Indonesia sampaikan ucap utama di UTM

JOHOR BAHRU, 7 September 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan satu Syarahan Umum oleh mantan Menteri Pendidikan Nasional Indonesia merangkap Penerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Pendidikan UTM 2011, Profesor Dr. Ir. Mohammad Nuh.

Profesor Dr. Ir. Mohammad Nuh sedang menyampaikan syarahan.

Syarahan Umum yang bertajuk “Membangun Sinergi Generasi Milenial Antara Indonesia-Malaysia” diadakan di Dewan Senat berlangsung hampir 90 minit dan turut dihadiri oleh  Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Konsulat Jenderal republik Indonesia di Johor Bahru, Haris Nugroho.

Turut hadir ke program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Zainuddin Abdul Manan dan lebih 160 orang yang terdiri daripada staf dan mahasiswa UTM dari kalangan warga Malaysia dan Indonesia.

Tetamu kenamaan yang hadir mendengar syarahan Profesor Dr. Ir. Mohammad Nuh antaranya Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan Konsulat Jenderal republik Indonesia di Johor Bahru, Haris Nugroho.

Prof. Dr. Ir. Mohammad Nuh merupakan tokoh yang tidak asing lagi bagi Malaysia dan Indonesia.

Selain pernah menjawat jawatan Menteri Pendidikan Nasional Indonesia, beliau juga pernah memegang kerusi Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia selama lebih dua tahun.

Beliau mendapat pendidikan tinggi di Indonesia dan Perancis, selain menjadi ahli akademik termuda yang pernah dilantik sebagai rektor di Institut Teknologi Sepuloh Nopember, Surabaya (ITS) sebelum menceburi bidang politik.

Kecintaan beliau terhadap bidang akademik masih dalam apabila kembali berkhidmat sebagai ahli akademik selepas tempoh pelantikan sebagai Menteri Pendidikan Nasional Indonesia berakhir.

Profesor Dr Zainuddin Mana menyampaikan cenderamata kepada Profesor Dr. Ir. Mohammad Nuh.

Antara yang menarik daripada permulaan intipati Syarahan beliau ialah ungkapan berikut:

“Kita boleh memilih Sahabat, tetapi tidak boleh memilih tetangga.

“Kita boleh memilih sahabat tetapi tidak boleh memilih saudara,” katanya.

Justeru, beliau mengajak audien untuk menghayati hubungan baik Malaysia Indonesia yang terjalin sekian lama.

Indonesia dan Malaysia juga menurut beliau merupakan Saudara, Tetangga dan Sahabat.

Syarahan beliau berkisar tentang cabaran generasi muda Malaysia dan Indonesia dalam menempuhi cabaran hidup sesuai degan perubahan zaman, teknologi, iklim, kuasa ekonomi, pembangunan pesat dan pertambahan bilangan penduduk dunia.

Sains dan Teknologi terutamanya telah mengubah wajah dunia dengan begitu drastik di mana kini dunia sedang memasuki era Revolusi Industri 4.0. Antara 10 teknologi terkini yang bakal mengubah kehidupan kita ialah Kenderaan “Autonomous”, “Graphene”, Cetakan 3D, Massive Open Online Courses (MOOCs), Matawang Virtual (Bitcoin), Teknologi yang boleh dipakai seperti jam pintar, Dron, Sistem Aquafonik, Teknologi Rumah Pintar dan Sumber tenaga boleh diperbaharui.

Beliau mengakhiri syarahan beliau melalui peringatan kepada audien terutamanya kepada para mahasiswa mengenai persiapan kita bagi menghadapi segala perubahan iaitu melalui Iman, Ilmu dan Amal dimana dari 3 perkara ini kita akan memperoleh Kekuatan, Keharkatan dan Kemartabatan.

Mahasiswa dari Malaysia dan Indonesia antara yang hadir mengikut syarahan.

UTM amat berbangga dengan inisiatif dan program seumpama ini yang diharapkan  akan menjadi pemangkin kepada jalinan hubungan mesra Malaysia-Indonesia yang berkekalan serta sebagai salah satu wacana sempena Sambutan Kemerdekaan Negara yang ke 60 pada 31 Ogos lalu.

 

Explore More