April 17, 2024

Search
Close this search box.

Hari Sungai Sedunia 2017 disambut meriah di UTMKL

Kuala Lumpur, 25 September 2017 : Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) bersama beberapa agensi, NGO dan komuniti setempat menyambut Hari Sungai Sedunia 2017 dengan mengadakan beberapa aktiviti ke arah kelestarian sungai. Program berpusat di Tasik Setapak Jaya serta tiga kawasan lain di sekitarnya iaitu di Taman Sungai Bunus, Kolam Titiwangsa dan Kolam Kampung Boyan.  Majlis di Tasik Setapak Jaya telah dirasmikan oleh YB Dato’ Ahmad Fauzi Zahari , Ahli Parlimen Setiawangsa.

Pelbagai aktiviti menarik dirancang untuk meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan kawasan dan sungai serta mendapatkan lebih banyak sokongan komuniti dan korporat untuk mengurangkan pencemaran sungai dan akhirnya mencapai  pencemaran sifar di Sungai Bunus.  Sungai Bunus merupakan satu-satunya sungai yang bermula dan berakhir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada tarikh yang sama bertempat di Kolam Takungan Banjir Kampung Boyan turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama-sama tujuh (7) Rakan Kongsi Sungai Bunus yang diterajui oleh Local Agenda 21 (LA21) bagi projek Sungai Nadi Kehidupan.  YBhg. Datuk Mohd Najib Mohd, Pengarah Eksekutif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mewakili Datuk Bandar hadir menandatangani MoU tersebut. UTM diwakili oleh Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor Pembangunan. MoU bermatlamat untuk memantau dan mentransformasi kawasan ini menjadi sebuah kawasan yang bermakna kepada warga kota dan dapat menyumbang kepada ekosistem dan alam sekitar yang lebih baik. Di majlis ini, UTM Kuala Lumpur telah menyumbang sebuah wakaf, sarang burung dan membina taman mini di kawasan Kolam Takungan Banjir Kampung Boyan.

 

 

Explore More