April 18, 2024

Search
Close this search box.

Sukarelawan UTM bekal tenaga elektrik untuk Orang Asli di Pos Lemoi

JOHOR BAHRU, 27 Ogos 2017 – Sekumpulan 20 sukarelawan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Prof. Dr. Asan Ali Golam Hassan dari UTM International Business School (IBS) berkampung selama enam hari di penempatan masyarakat Orang Asli di Pos Lemoi, Cameron Highlands untuk  menyediakan bekalan tenaga elektrik bagi menjana aktiviti ekonomi pada masa akan datang.

Sukarelawan UTM sedang menyiapkan empangan untuk menyalurkan air ke dalam basin.

Mereka memasuki perkampung itu yang terletak kira-kira 18 kilometer dari jalan utama Ringlet, Cameron Highlands – Sungai Koyan pada 20 Ogos lalu untuk membina sistem vortex hidro elektrik bagi membekal tenaga elektrik ke dewan Pos Lemoi, pusat komuniti, klinik dan surau.

Prof. Dr. Asan Ali berkata, projek yang dijalankan menerusi program “Integrasi Vortex Hidro dan Aktiviti Ekonomi Masyarakat Orang Asli” adalah inisiatif kerjasama UTM di bawah Program Transformasi Luar Bandar, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Ke-4.

Orang Asli di Kampung Lemoi membantu membina sistem vortex hidro elektrik.

Projek berkenaan dijalankan melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) dan International Business School UTM yang bekerjasama dengan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Pusat Kursus Umum dan Kokurikulum (CGCC), penyelidik dan sukarelawan dari IBS UTM, Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM Razak School of Engineering and Advanced Technology, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Politeknik Sultan Azlan Shah dan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Projek itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial UTM yang dilaksanakan secara kerjasama dengan lain-lain agensi kerajaan pusat, negeri dan badan bukan keajaan.

Projek itu mendapat peruntukan sebanyak RM92,850 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Pejabat Pengairan dan Saliran Cameron Highlands dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai.

Beliau berkata, pembinaan sistem vortex hidro elektrik adalah projek komuniti yang memberi penekanan kepada faktor alam sekitar, ekonomi, sosial, teknologi dan pendidikan.

Laluan untuk menyalurkan air sungai ke basin siap dibina.

Projek tersebut melibatkan pemindahan teknologi berkonsepkan kesukarelawan berimpak tinggi, mapan, dapatan hasil yang segera dan kos yang murah.

“Bagi menjayakan projek ini, kami telah memasuki ke Pos Lemoi sebanyak enam kali bermula Januari 2017 bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai dan diikuti beberapa lawatan berikutnya untuk melihat profil sungai dan penduduk.

“Pembinaan sistem vortex hidro elektrik bermula pada bulan Jun yang lalu dengan melakukan kerja-kerja konkrit dan kedatangan kami kali ini adalah bagi menyiapkan pembinaan dengan bantuan beberapa orang penduduk.

“Selepas ini kami akan datang semula ke sini untuk melakukan kerja-kerja penyaluran elektrik ke dewan, pusat komuniti, klinik, surau, rumah batin, memasang lampu di kawasan kampung dan di tempat penjanaan elektrik,” katanya ketika ditemui di Kampung Lemoi, baru-baru ini.

Sistem vortex hidro elektrik mampu membekalkan lima kilowatt tenaga elektrik.

Projek berkenaan yang berupaya membekal sebanyak lima kilowatt tenaga elektrik dijangka dapat disalurkan pada penghujung September tahun ini dan merupakan projek vortex hidro yang pertama di perkampungan Orang Asli.

Beliau  berkata, kerja-kerja menyiapkan konkrit vortex hidro diteruskan hingga 25 Ogos, manakala pendawaian elektrik dan memasang turbin hidro akan dilaksanakan September ini.

“Dijangka impak bekakan elektrik akan dinikmati oleh penduduk pada awal Oktober 2017,” katanya yang juga Ketua Projek, Pico Hidro Elektrik Pos Lemoi Cameron Highlands.

Basin yang siap dibina akan pasang dengan turbin.

Menurutnya, objektif projek itu terbahagi kepada dua iaitu pertama untuk meningkatkan akses kemudahan elektrik secara percuma untuk komuniti terpencil dan kedua untuk meningkatkan penglibatan dalam aktiviti pertanian komersial, menguruskan perniagaan secara profesional serta meningkatkan pengeluaran dan pemasaran hasil pertanian yang mapan.

Antara aktiviti yang akan dijalankan dalam projek fasa kedua adalah berbentuk mesra alam seperti ternakan itik, ikan air tawar dan tanaman kontan yang mana sisa tanaman dan bahan buangan ternakan akan dikitar semula untuk dijadikan baja organik.

Katanya, bekalan elektrik ke kawasan penempatan Orang Asli di pendalaman melibatkan kos yang tinggi.

Oleh itu cadangan projek vortex hidro akan memberi impak kepada kumpulan sasar, selain kos yang rendah projek itu akan memberi impak ekonomi kepada komuniti orang asli yang terpinggir.

Air sungai yang mengalir masuk ke dalam basin akan memutar turbin.

Sementara itu, Pensyarah Kanan IBS, Dr Harcharantjit Singh berkata, teknologi vortex digunakan kerana kos yang rendah, tidak mencemar alam sekitar, mudah untuk diselenggara dan tanpa kos.

Beliau berkata, sebuah empangan dibina bagi menyalurkan air ke dalam saluran yang dibina bagi memasuki basin khas untuk memutarkan turbin yang boleh menjana tenaga elektrik 24 jam sehari.

“Kajian telah dijalankan berdasarkan kepada geografi sungai mendapati sistem vortex hidro elektrik mampu menjana tenaga elektrik sebanyak lima kilowatt walaupun dalam musim kemarau.

“Dianggarkan sebanyak 40 kilowatt tenaga elektrik diperlukan bagi memenuhi keperluan 40 buah rumah yang terdapat di Kampung Lemoi sahaja,” katanya.

Kampung Lemoi adalah antara tiga buah kampung Orang Asli yang terdapat di Pos Lemoi, selain Kampung Cheroh dan Kampung Telimau dengan jumlah keseluruhan penduduk seramai 634 orang.

Air di dalam basin akan keluar semula ke sungai melalui saluran yang dibina.

Sumber tenaga elektrik mereka bergantung kepada generator milik persendirian dan bekalan tenaga elektrik solar yang sebahagian besarnya didapati tidak lagi berfungsi.

Explore More