April 18, 2024

Search
Close this search box.

UTM dan LATSB komersial produk membran dan aeroangkasa

JOHOR BAHRU, 10 Ogos 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lestari Advance Technology Sdn Bhd (LATSB) menandatangani memorandum perjanjian persefahaman bagi membangun dan mengkomersilakan dua produk penyelidikan.

Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Ahmad Joahari Abu Bakar bertukar nota perjanjian sambil disaksikan oleh Dato’ Seri Idris Jusoh dan Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, LATSB bersetuju untuk bekerjasama membangun dan mengkomersialkan produk teknologi membran bagi sistem penyahgaraman air laut untuk kegunaan komuniti dan industri.

Selain itu, LATSB akan keberjasama membangun dan mengkomersialkan bahan dorongan untuk industri aeroangkasa berasaskan teknologi roket yang sukar untuk diperolehi dari luar negara.

Memorandum persefahaman itu ditandatangan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Pengarah Makmal Aeronautik UTM, Profesor Dr Wan Khairuddin Wan Ali. Manakala LATSB diwakili oleh Pengarah Urusannya, Ahmad Joahari Abu Bakar.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Profesor Dr Wan Khairuddin Wan Ali (tengah) menandatangani dokumen perjanjian.
Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Ahmad Joahari Abu Bakar menandartangani dokumen perjanjian.

Profesor Wahid berkata, produk teknologi membran bagi sistem penyahgaraman air laut dibangunkan oleh Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC), UTM.

“Penghasilan sistem rawatan air bersih dan selamat itu adalah hasil teknologi penyelidik tempatan yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, melalui geran Translational Research Grant Scheme (TRGS) di bawah Program Penyelidikan Strategik KPT Jaminan Air Kebangsaan,” katanya.

Kerjasama antara kedua-dua pihak diharapkan dapat meneroka hubungan dan peluang perniagaan mengenai penyelesaian masalah air dengan penggunaan sistem teknologi membran penyahgaraman air laut bagi kelangsungan kelestarian sumber air mentah di masa hadapan.

“Pihak LATSB akan melantik AMTEC sebagai perunding bagi projek-projek khas berkenaan penggunaan teknologi membran dalam pemprosesan air bersih dan air mentah kepada pengguna,” katanya.

AMTEC ditunjangi oleh tujuh orang Felo Penyelidik dan sebelas penyelidik bersekutu yang mengetuai beberapa projek penyelidikan bersama dengan universiti dan industri tempatan serta antarabangsa.

AMTEC menggabungkan aktiviti mereka bentuk, memfabrikasi dan pengkomersialan modul membran dan sistem membran yang disesuaikan untuk aplikasi tempatan dan juga luar negara.

Setiap projek penyelidikan dan pembangunan produk ini sentiasa dipantau bagi memenuhi piawaian global dalam bidang teknologi membran terutamanya dalam Water Reclamation.

Kerjasama antara AMTEC dan LATSB selaras dengan hasrat AMTEC untuk menjadi hab penyelidikan dan pendidikan dalam bidang teknologi membran, terutama kepada  penyelidik dan pelajar pelbagai disiplin dalam bidang sains, kejuruteraan, reka bentuk perindustrian dan pengkomersilan di Malaysia dan rantau Asia.

Sementara itu, kerjasama antara LATSB dan Makmal Aeronautik UTM adalah untuk menbangun dan mengkomersialkan bahan pendorong iaitu bahan kimia yang diguna untuk menghasilkan daya tujah didalam sebuah roket.

“Bahan tersebut sangat sukar diperolehi dari negara luar namun begitu ia telah menjadi produk penyelidikan UTM dan sedia untuk dibawa ke penggunaan industri.

“Industri aeroangkasa, sivil dan pertahanan, berasaskan teknologi tersebut dijangka dapat dirintis melalui produk ini,,” katanya.

Beliau berkata, faktor ekonomi dan geopolitik semasa telah menjadikan satu keperluan untuk Malaysia memulakan industri aeroangkasa terutamanya dalam industri berasaskan teknologi roket.

Kerjasama ini juga akan memberi fokus kepada program kerjasama masa hadapan dalam penyelidikan, perundingan dan pengkomersilan produk di masa hadapan.

 

Explore More