April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, Rabu 26 Julai 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima hadiah RM20,000 kerana berjaya mencapai kedudukan tertinggi dalam program “Kelestarian Kampus Hijau Universiti Awam Malaysia 2017” yang diadakan baru-baru ini.

Dr. Mohd Pauze Mohamad (kiri) mnyerahkan cek  kepada Prof Dr Azlan.

Cek berkenaan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal), Perbadanan Sisa Pejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Dr. Mohd Pauze Mohamad Taha kepada Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof Dr Azlan Abdul Rahman, di UTM hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kampus Lestari UTM, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Fadhil Md Din.

Kejayaan itu merupakan penghargaan kepada usaha UTM dalam menguruskan aspek kelestarian dan alam sekitar ke arah membudayakan masyarakat kampus yang menitikberatkan kepada peningkatan urustadbir serta perlaksanaan kelestarian yang jitu di semua peringkat.

Usaha yang telah dijalankan itu membolehkan UTM menerima Sijil Anugerah Khas di atas pengiktirafan “Top 5” IPTA di Malaysia yang berjaya memperolehi kedudukan tertinggi dalam penglibatan “Kelestarian Kampus Hijau Universiti Awam Malaysia 2017”.

Terdapat lima kriteria utama yang diambilkira dalam pengauditan tersebut iaitu Program dan Aktiviti Berkaitan 3R, Pengangkutan, Penjimatan Guna Air, Kursus dan Kajian serta Pengiktirafan. Kesemua bukti-bukti ini disokong dengan data-data yang dikemukakan termasuk cerapan sendiri oleh pihak audit SWCorp sendiri di institusi terbabit.

Antara program dan aktiviti yang menjadi tulang belakang kejayaan UTM adalah gerakan tersusun mengenai Makmal Hidup (Living Laboratory) yang berpaksikan kepada kerjasama semua unit dan bantuan tenaga pakar UTM bagi membantu perlaksanaan operasi dan penyelidikan.

Sehingga 2016, pihak UTM telah menerima berpuluh-puluh anugerah dalam dan luar negara menerusi pelbagai sektor seperti tenaga, pendidikan/penyelidikan, sisa dan air serta aspek-aspek penghayatan budaya lestari.

Untuk rekod, UTM merupakan institusi yang melaksanakan program akar umbi (menerusi penubuhan kelab-kelab sokongan luar UTM), pelopor kepada LCCF (low carbon campus framework), audit melibatkan data MyCarbon, kolaborasi bersama penyelidik antarabangsa mengenai Low Carbon City dan menjadi konsultan kepada beberapa agensi kerajaan dan swasta. Ini membuktikan slogan UTM sebagai Kampus Lestari sangat relevan dengan pembuktian hasil kerjasama semua unit tanpa mengecualikan keperluan penjanaan dana.

Pihak unit dalaman UTM juga sering memberikan bengkel/seminar serta pendidikan tidak formal kepada komuniti setempat menerusi inisiatif Makmal Hidup (Green Community dan Green School).

Tindakan proaktif yang dilaksanakan menerusi kerjasama NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan), telah digunakan dalam semua projek dan kajian yang melibatkan kelestarian. Inisiatif utama UTM sehingga tahun 2020 adalah mensasarkan peningkatan program dan hasilguna sampah kepada bahan yang boleh dikomersilkan, selain bermatlamatkan Pengurusan Sifar Sampah (Zero Waste Management).

Pada masakini, pihak UTM sedang menjalankan kajian intensif mengenai kebolehgunaan sisa sampah untuk tujuan pertanian, penternakan, bahan bakar serta program keusahawanan yang relevan.

Bersempena dengan pengiktirafan ini, pihak SWCorp dan UTM telah mengambil inisiatif bagi menggalakkan sektor awam untuk terlibat dalam kerjasama yang melibatkan aspek kelestarian terutama alam sekitar yang membantu ke arah budaya masyarakat kampus khasnya. UTM secara dasarnya menitikberatkan kepada peningkatan urustadbir serta perlaksanaan kelestarian yang jitu di semua peringkat unit/jabatan/pusat kecemerlangan.

Salah satu inisiatif terbaru ialah dengan melaksanakan pengiktiran dalaman mengenai Anugerah “Green Leaf” yang bakal dilaksanakan pada tahun depan. Inisiatif ini akan memantau, mengaudit dan melaksanakan transformasi kelestarian di semua peringkat dalaman UTM.

Explore More