April 18, 2024

Search
Close this search box.

Jaringan Akademik Malaysia & Industri Swiss: UTM-SMBA

Malaysia dan Switzerland buat julung kalinya bekerjasama melalui sebuah projek berprestij, berbentuk perpindahan ilmu dan pengalaman, untuk menaiktaraf dan memperkasa pengkomersialan hasil kajian dan pembangunan (R&D) negara, serta memartabatkan keusahawanan teknologi (technology-entrepreneurship) di peringkat global. Usahasama ulung ini adalah hasil gandingan Universiti Teknologi Malaysia bersama University of Applied Sciences & Arts Northwestern Switzerland (FHNW), serta merupakan usahasama unik dan yang pertama di Malaysia.

Objektif utama usahasama ini adalah untuk membantu pengkomersialan hasil R&D (kajian dan pembangunan) pelbagai bidang, dan memupuk kebolehan keusahawanan global, yang berteraskan penggunaan serta penghasilan teknologi baharu yang mampu memberi faedah serta mampu berdaya saing secara kompetetif di arena antarabangsa. Fokus diberi kepada 100 usahawan dan bakal usahawan teknologi yang berpotensi untuk memasar dan mengembangkan inovasi mereka di pasaran global, khususnya di pasaran Eropah.

Kini, UTM International Business School (UTM IBS) telahpun tiba kepada penghujung fasa iaitu Fasa Ketiga buat pihak Swiss Innovation Challenge Asia 2017 yang sedang menempah nama diseluruh Malaysia malahan juga di serata Asia. Bagi fasa ini, terdapat beberapa barisan program serta acara rangkaian yang telah dirancangkan untuk penyatu-paduan hubungan industri-akademik yang baharu demi kerjasama antara kedua-dua pihak pada masa hadapan.

Antara acara terpenting yang bakal dijalankan dalam masa terdekat ini adalah UTM-Swiss Malaysian Business Association (SMBA) Networking. Acara ini adalah bertujuan untuk menjalinkan hubungan rangkaian yang bermakna buat UTM serta SMBA dimana ahli-ahlinya datang dari pelbagai jenis industri, institut penyelidikan dan institusi pengajian di seluruh Malaysia dan Switzerland.

Acara ini akan berlangsung pada 20 Julai 2017 di UTM Kuala Lumpur pada waktu 6:30 petang sehingga 8:00 malam di Bilik Ilmuan 3, UTM Kuala Lumpur. Acara ini buat julung kalinya bakal dihadiri oleh individu-individu ternama dan dihormati, seperti Duta Switzerland, Presiden SMBA, 30 Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Swiss serta para akademik dari UTM.

Majlis seperti ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim bukan sahaja antara UTM dan SMBA malahan antara negara Malaysia dan juga negara Switzerland sendiri. Dengan adanya acara seperti ini, adalah pihak Swiss Innovation Challenge Asia 2017 mengharapkan dapat sedikit sebanyak membantu warga UTM secara keseluruhan untuk menempah nama di peringkat global dan dikenali di setiap pelusuk dunia.

Explore More