April 25, 2024

Search
Close this search box.

Dana Wakaf Pendidikan UTM platform terbaik buat kebajikan

JOHOR BAHRU, 27 Julai 2017 – Kewujudan Dana Wakaf Tabung Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (DWTP-UTM) dapat memberikan platform terbaik kepada komuniti awam untuk menyumbang dan melakukan kebajikan.

Datuk Hj. Ahmad Kemin menyerah kenderaan Toyota Innova kepada Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman.

Ini kerana setiap sen dari sumbangan wakaf yang diberikan akan digunakan sepenuhnya dalam  membantu pengajian para mahasiswa miskin dan juga aktiviti penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang dijalankan oleh penyelidik UTM.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman berkata, sejak penubuhannya pada 5 Disember 2016, DWTPUTM telah berjaya mengumpul sebanyak RM 1.2 juta dalam bentuk wang tunai.

“Penyumbang kita adalah terdiri dari bekas pelajar, masyarakat tempatan dan juga warga kerja universiti sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penerimaan sumbangan wakaf kenderaan oleh Yayasan Mutiara Sayang yang disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Mutiara Sayang merangkap Pengerusi Eksekutif Mutiara Motorsport Sdn. Bhd, Datuk Hj. Ahmad Kemin di Scholar’s Inn, tengah hari tadi.

Yang turut hadir Pendaftar UTM, Dato’ Hj Wan Mohd Zawawi Wan Abdul Rahman, Pengarah DWTP-UTM, Prof. Madya Dr. Mohd. Ismail Mustari dan Pengarah Unit Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon.

Kenderaan yang diwakafkan adalah dari jenis Van Toyota Innova yang berharga RM 80,000.

Bercakap mengenai sumbangan itu, Prof. Azlan berkata kenderaan tersebut akan diletakkan di bawah kendalian Pejabat Wakaf UTM dan akan digunakan bagi melicinkan urusan pentadbiran pejabat tersebut.

“Kenderaan ini akan kita gunakan bagi melaksanakan ‘road show’ dengan tujuan membangkitkan kesedaran pada seluruh rakyat negeri Johor ini.

“Dalam menjayakan usaha ini, kita juga mendapat kerjasama dari Majlis Agama Islam Johor (MAIJ),” katanya.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan DWTP-UTM, Prof. Azlan berkata pihaknya sedang mengusahakan beberapa projek untuk menambah dana wakaf tersebut antaranya pembinaan hotel tiga bintang dan dewan serbaguna berhampiran dengan Scholar’s Inn.

“Aset ini akan kita komersilkan dan hasil dari perniagaan hotel dan sewaan dewan ini akan kita salurkan ke tabung ini,” katanya.

Sumbangan berbentuk wakaf kenderaan ini adalah yang pertama kali dilakukan sejak penubuhan DWTP-UTM.  Adalah menjadi harapan pihak pentadbiran UTM kepada masyarakat sekitar untuk mengetahui bahawa berwakaf tidak terhad melalui wang tunai sahaja tetapi boleh juga dilakukan melalui sumbangan harta benda.

Explore More