April 25, 2024

Search
Close this search box.

Anugerah “Penilaian Amalan Kampus Lestari Universiti Awam di Malaysia” berkat kerjasama semua

Perbadanan Sisa Pejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan audit berkaitan “Penilaian Amalan Kampus Lestari Universiti Awam di Malaysia” yang telah dilangsungkan di Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi pelancaran Konvensyen Kelestarian Kampus Hijau.

Program Car Free Day salah satu inisiatif kelestarian.

Inisiatif anugerah itu dilaksanakan bagi menghargai dan menjadi pembakar semangat kepada hampir kesemua Universiti Awam (UA) di Malaysia yang sedang dan giat melaksanakan inisiatif kelestarian.

Tujuan utama program itu adalah untuk menyahut seruan kerajaan yang mensasarkan kadar kitar semula sebanyak 22 peratus menjelang tahun 2020. Pengiktirafan tertinggi bagi program penilaian itu ialah Anugerah Kursi Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Audit telah dijalankan bermula 4 Mei sehingga 10 Mei 2017 yang lalu di semua 20 buah UA di seluruh negara.  Terdapat lima kriteria utama yang diambil kira dalam pengauditan tersebut iaitu Program dan Aktiviti Berkaitan 3R, Pengangkutan, Penjimatan Guna Air, Kursus dan Kajian serta Pengiktirafan.

Semua -bukti berkenaan disokong dengan data-data yang dikemukakan termasuk cerapan oleh pihak audit SWCorp sendiri di institusi terbabit.

Pihak UTM telah dianugerahkan Sijil Anugerah Khas di atas pengiktirafan “Top 5” UA di Malaysia yang berjaya menduduki kedudukan tertinggi dalam penglibatan “Kelestarian Kampus Hijau Universiti Awam Malaysia 2017” yang telah disampaikan Tan Sri Ali Hamsa.

UTM bersama empat buah UA lain telah dianugerahkan wang kemenangan berjumlah RM20,000 bagi memberikan pengiktirafan unggul kategori UA. Menerusi pengiktirafan itu, UTM merupakan antara institusi tersohor yang mempunyai kemampuan dalam menguruskan aspek kelestarian dan alam sekitar.

Anugerah itu juga mencerminkan budaya penghayatan dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkepentingan di dalam kampus telah mula membuahkan hasil.

Antara program dan aktiviti yang menjadi tulang belakang kejayaan itu adalah gerakan tersusun mengenai Makmal Hidup (Living Laboratory) yang berpaksikan kepada kerjasama semua unit dan bantuan tenaga pakar UTM bagi membantu perlaksanaan operasi dan penyelidikan.

Sehingga 2016, pihak UTM telah menerima berpuluh-puluh anugerah dalam dan luar negara menerusi pelbagai sektor seperti tenaga, pendidikan/penyelidikan, sisa dan air serta aspek-aspek penghayatan budaya lestari.

Untuk rekod, UTM merupakan institusi yang melaksanakan program akar umbi (menerusi penubuhan kelab-kelab sokongan luar UTM), pelopor kepada Low Carbon Campus Framework (LCCF), audit melibatkan data MyCarbon, kolaborasi bersama penyelidik antarabangsa mengenai Low Carbon City dan menjadi konsultan kepada beberapa agensi kerajaan dan swasta.

Ini membuktikan slogan UTM sebagai Kampus Lestari sangat relevan dengan pembuktian hasil kerjasama semua unit tanpa mengecualikan keperluan penjanaan dana. Pihak unit dalaman UTM juga sering memberikan bengkel/seminar serta pendidikan tidak formal kepada komuniti setempat menerusi inisiatif Makmal Hidup (Green Community dan Green School).

Tindakan proaktif yang dilaksanakan menerusi kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), telah digunakan dalam semua projek dan kajian yang melibatkan kelestarian. Inisiatif utama UTM sehingga tahun 2020 adalah mensasarkan peningkatan program dan hasilguna sampah kepada bahan yang boleh dikomersilkan, selain bermatlamatkan Pengurusan Sifar Sampah (Zero Waste Management).

Pada masakini, pihak UTM sedang menjalankan kajian intensif mengenai kebolehgunaan sisa sampah untuk tujuan pertanian, penternakan, bahan bakar serta program keusahawanan yang relevan.

Bersempena dengan pengiktirafan ini, pihak SWCorp dan UTM telah mengambil inisiatif bagi menggalakkan sektor awam untuk terlibat dalam kerjasama yang melibatkan aspek kelestarian terutama alam sekitar yang membantu ke arah budaya masyarakat kampus khasnya.

UTM secara dasarnya menitikberatkan kepada peningkatan urustadbir serta perlaksanaan kelestarian yang jitu di semua peringkat unit/jabatan/pusat kecemerlangan.

Salah satu inisiatif terbaru ialah dengan melaksanakan pengiktiran dalaman mengenai Anugerah “Green Leaf” yang bakal dilaksanakan pada tahun depan. Inisiatif ini akan memantau, mengaudit dan melaksanakan transformasi kelestarian di semua peringkat dalaman UTM.

Cadangan pengiktirafan ini akan membantu golongan sasar di dalam UTM untuk menggiatkan aktiviti kelestarian dan tidak terhenti sekadar slogan ataupun kertas kerja.

 

Oleh:

Prof. Madya Dr Mohd Fadhil bin Md Din                                                                                                                                                                                                                                       Pengarah Pelestarian Kampus                                                                                                                                                                                                                                                           Universiti Teknologi Malaysia

 

Explore More