UTM bantu bangunkan ekonomi dan sosial komuniti daerah Tangkak

TANGKAK, 9 Julai 2017 – Sebanyak tiga kajian dijalankan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi membangunkan ekonomi dan sosial komuniti daerah Tangkak di bawah program Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ).

Pegawai Daerah Tangkak Abdul Alim Abd Shukor melihat demonstari penggunaan Pembangunan Mobil Apps untuk Pelancongan Tangkak.

Naib Canselor, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, projek berkenaan ialah Tangkak sebagai Hab Makanan, Pembangunan Mobil Apps untuk Pelancongan Tangkak dan Gaya Hidup Pelancongan.

Menurutnya, inisiatif berkenaan adalah antara 20 projek yang telah dikenal pasti bagi setiap daerah di negeri Johor untuk membantu ekonomi, penjanaan ilmu pengetahuan dan kesejahteraan penduduk daerah Tangkak.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Dr Hamim Samuri mendengar taklimat.

“Kajian Tangkak sebagai Hab Makanan diketuai oleh Prof. Dr. Kamariah Ismail dari Fakulti Pengurusan UTM bertujuan melihat kebolehlaksanaan daerah ini sebagai pengeluar makanan utama bagi negeri Johor, terutama  padi dan sayuran daunan.

“Pertambahan penduduk yang semakin meningkat telah mengakibatkan pertambahan permintaan sumber makanan justeru, Tangkak perlu dijadikan sebagai hab makanan untuk negeri Johor dan Malaysia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UTM, Profesor Dr Mohd Shahir Shamsir Omar di majlis perasmian program IISJ yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, merangkap Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir Dr Hamim Samuri di Pejabat Daerah Tangkak, pagi ini.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Tangkak Abdul Alim Abd Shukor dan Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak, , Ezahar Abu Sairin.

Sementara itu, Kajian Pembangunan Mobil Apps untuk Pelancongan Tangkak pula diketuai oleh Prof. Dr. Ali Selamat dari Fakulti Komputeran, UTM.

Kajian itu bertujuan mempromosikan produk pelancongan di daerah Tangkak kepada seluruh rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa melalui penggunaan teknologi aplikasi mobil yang mudah alih, efisyen dan efektif.

Prof. Dr. Kamariah Ismail membentangkan hasil kajian dan cadangan.

“Penerapan penggunaan aplikasi mobil ini dijangkakan dapat membantu meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos sara hidup tanpa kekangan masa dan kekangan geografi.

“Di samping itu, ia dapat secara langsung meningkatkan produktiviti perusahaan di Tangkak dengan mudah dan berkesan,” katanya.

Manakala Gaya Hidup Pelancongan diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan, Prof. Dr. Rohaizat Baharun bertujuan menjadikan Tangkak sebagai salah satu hab pelancongan dengan mengubah persepsi dari para pelancong yang menjadikan Tangkak hanya sebagai “transit-point” sahaja.

Melalui kajian itu, persepsi berkenaan dapat diubah melalui penawaran produk pelancongan yang dapat menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa.

Penyelidik UTM bersama Abdul Alim.

Ketiga-tiga kajian itu telah mengaplikasikan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan mendapat kerjasama yang sangat baik dari agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan negeri Johor terutamanya dari Pejabat Daerah Tangkak, Majlis Daerah Tangkak, Jabatan Pertanian Tangkak, Pejabat Tanah, Pejabat Veterinar Tangkak dan lain-lain lagi.

UTM yang mengetuai IISJ bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ) dan Kerajaan Negeri Johor bagi menjayakan objektif penubuhannya dengan dibantu serta digerakkan agensi kerajaan di peringkat negeri dan daerah.

Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan lebih RM1.4 Juta dan UTM memperuntukkan RM500 ribu untuk tujuan berkenaan.

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *