April 23, 2024

Search
Close this search box.

UTM Tawar Kepakaran untuk Selesai Isu dan Cabaran Utama Negara

PUTRAJAYA, 31 Mei 2017 –  Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengemukakan cadangan penyelesaikan terhadap beberapa isu dan cabaran besar negara menggunakan kepakaran penyelidik mereka kepada Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh, dalam satu sesi pembentangan di pejabatnya semalam.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr. Wahid Omar mengetuai deligasi UTM mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Idris Jusoh di pejabatnya.

UTM membentangkan projek-projek yang mampu memberi penyelesaian terhadap isu dan cabaran yang sedang dihadapi negara.

Projek-projek berkenaan merupakan hasil kajian yang setengahnya telah diaplikasi dan dikomersilkan dan sebahagiannya berpotensi untuk dikomersilkan melalui empat tema utama iaitu revolusi digital, sumber dan rawatan air, holistik halal untuk persijilan dan pembangunan dan inovasi baharu dalam hemodialisis, demikian menurut Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr. Wahid Omar.

Menurut beliau objektif utama pembentangan itu untuk memberi kefahaman kepada YB Menteri bahawa pelaburan negara terhadap geran-geran yang telah diberikan kepada penyelidik telah berupaya menghasilkan output yang mampu dimanfaatkan oleh komuniti dan kerajaan.

Universiti telah menghasilkan teknologi tempatan dengan acuan tempatan. Selama ini kita banyak bergantung kepada teknologi luar yang perlu diimport daripada luar dan memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.

“Sudah tiba masanya kita mengaplikasikan hasil penyelidikan tempatan yang lebih murah dan mudah diselenggara sendiri.

“Kerajaan perlu memberi kepercayaan kepada teknologi tempatan bagi membolehkan industri tempatan dan multinasional menggunakan teknologi ini.

“Perkembangan ini bagi membolehkan kita mengeksport teknologi tempatan,” katanya.

Delegasi UTM bergambar bersama Menteri Pengajian Tinggi.

Beliau diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Pengarah Pusat Geotropik UTM, Profesor Dr. Edy Tonizam,  Pengarah UTM-IRDA Digital Media, Prof Madya Dr. Shahrizal Sunar,  Timbalan Pengarah Advanced Material Technology Centre (AMTEC), Prof Madya Dr. Hafiz Dzafran, dan wakil Konsortium Halal UTM, Dr. Iskandar Ilyas Tan.

Profesor Dr. Ahmad Fauzi turut membentangkan hasil penyelidikan beliau yang berupaya menemukan teknologi tempatan untuk mesin hemodialisis.

Mengikut rekod terdapat kira-kira 38,000 pesakit mendapatkan rawatan hemodialisis di seluruh negara dan anggaran kos bagi rawatan ini adalah sejumlah RM25,727.00 setahun.

Dijangka dengan penggunaan mesin itu mampu mengurangkan 30 peratus kos  rawatan.

Manakala Profesor Dr. Edy Tonizam membentangkan penyelesaian terhadap isu air negara melalui penggunaan potensi air bawah tanah yang menawarkan air yang tidak putus dengan kos rawatan yang lebih murah.

Prof Madya Dr. Shahrizal Sunar pula menawarkan teknologi dalam pembelajaran masa depan melalui teknologi virtual menggunakan hologram dan gamification yang lebih menjimatkan kos pembelian alat pembelajaran dan menimbulkan minat  pembelajaran, Big Data Analytic melalui data-data pesakit membolehkan kawalan dan pencegahan dapat dibuat dengan lebih baik.

Manakala Prof Madya Dr. Hafiz Dzafran memberi penyelesaian terhadap isu-isu pencemaran air dan kaedah rawatan air dan minyak melalui teknologi membrane.

Dr. Iskandar Ilyas Tan pula menawarkan teknologi yang menggunakan kaedah digital bagi penyelesaian terhadap isu-isu dalam mendapatkan persijilan halal yang dihadapi oleh JAKIM dan pemohon dengan kos menyediakan kos yang jauh lebih murah dan cepat dengan pakej latihan mengikut standard persijilan halal yang ditetapkan oleh pihak JAKIM.

 

Explore More