April 20, 2024

Search
Close this search box.

MDA, FBME kerjasama bina makmal pengujian peranti perubatan

JOHOR BAHRU, 30 Mei 2017 – Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) , Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan (FBME) akan menubuhkan makmal pengujian peranti perubatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Profesor Dr Zainuddin (kanan) dan Zamane bertukar dokumen perjanjian.

Ketua Pegawai Eksekutif MDA, Zamane Abdul Rahman berkata, makmal itu akan digunakan untuk menguji peranti perubatan yang dibawa masuk dari luar negara sebelum diluluskan kegunaan di negara ini.

Menurutnya, makmal berkenaan akan menguji keselamatan dan kemampuan peranti perubatan yang dibawa masuk ke negara ini bagi memastikannya memenuhi paiwaian yang ditetapkan dan selamat digunakan.

“Kita tidak mahu menjadikan negara ini sebagai tempat longgokan peranti perubatan yang tidak digunakan di negara pengeluar kerana tidak berkualiti dan memenuhi standard yang ditetapkan oleh negara berkenaan.

“Makmal ini kemungkinan besar akan dibina tahun depan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), termasuk menaiktaraf kemudahan makmal yang ada di Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas menandatangan perjanjian persefahaman bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Zainuddin Abd Manan, di FBME, di Taman Universiti, hari ini.

Yang turut hadir di majlsi berkenaan Dekan FMBE Profesor Dr Jasmy Yunus, Pengarah Jabatan Polisi, Kod dan Standard MDA, Ir. Saskiala Devi A/P Tangavelu serta  pegawai kanan FMBE.

Zamane berkata, menerusi kerjasama itu MDA akan menghantar seramai 27 pegawainya  untuk mengikuti pengajian di peringkat sarjana di FBME September ini bagi mempertingkan kompetensi dalam pelbagai bidang.

“Mereka perlu diberi pendedahan untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kecekapan berkaitan teknologi terkini sehingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD),” katanya.

Explore More