April 24, 2024

Search
Close this search box.

PM Dr Gurupiah menang Anugerah Buku Ilmiah Terbaik bagi bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan

JOHOR BAHRU, 7 Mei 2017 – Buku Regionalisme dalam Seni Bina Malaysia Era Moden, Pascamoden dan Global terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memenangi Anugerah MAPIM-KPT 2016 bagi kategori Anugerah Buku Ilmiah Terbaik bagi bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Dr Gurupiah dan Prof. Dr. Mohd Tajudin menerima hadiah yang disampaikan oleh Dato’ Seri Idris di Kuala Terengganu.

Pengarangnya, Professor Madya Dr Gurupiah Mursib, pensyarah Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Prof. Dr. Mohd Tajuddin Rasdi memenangi cek bernilai RM7,000.00, sijil serta trofi yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh di Kuala Terengganu pada 29 April lalu.

Anugerah MAPIM-KPT 2016 merupakan anugerah berprestij tertinggi kebangsaan bagi mengiktiraf hasil karya ilmiah, penulis, editor dan pereka kalangan ahli Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).

Buku Regionalisme dalam Seni Bina Malaysia merakamkan sejarah perkembangan pemikiran regionalisme seni bina di Malaysia. Buat pertama kalinya, buku berkenaan mempersembahkan dokumentasi sejarah seni bina Malaysia secara meluas, menjangkaui seni bina awal moden, pascamoden dan era global.

Buku berkenaan mengangkat  pemikiran ‘bermoral’ untuk seni bina setempat yang mampu menampilkan identiti dan jati diri bangsa dari nilai dalaman yang utuh.

Sebelum itu, pada 20 Oktober 2016, buku berkenaan telah memenangi Anugerah Karya Ilmiah dalam Kategori Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan anjuran DBP.

Anugerah ini telah disempurnakan oleh  Menteri Pendidikan Dato’ Seri Mahadzir Khalid di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya.

 

 

Explore More