April 20, 2024

Search
Close this search box.

Penyelidik UTM bangun aplikasi rangsang minda untuk belajar

JOHOR BAHRU, 27 April 2017 – Sekumpulan penyelidik dari Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan (FBME), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)  berjaya membangunkan aplikasi mudah alih Smart Learning Technology yang mengandungi tona bunyian bagi meransang minda untuk belajar.

Profesor Eko (kiri) Ketua Pegawai Eksekutif MinDec Research Sdn Bhd Sheikh Mohamad Said dan Dr Ahmad Zahran menunjukkan aplikasi yang dibangunkan.

Ketua Kumpulan Penyelidik Diagnostik, Institute of Human Centered Engineering, Profesor Dr Eko Suprianto berkata, aplikasi tersebut adalah yang pertama di dunia meransang minda belajar sambil menikmati lebih daripada 50 ribu saluran radio dari seluruh dunia.

Menurutnya, Smart Learning Technology dimuatkan dengan dua set audio yang dinamakan sebagai “Alpha Beats” dan “Theta Beats” yang mana gelombang berkenaan mempunyai peranan yang berbeza.

Carta peningkatan pencapaian pelajar pusat tuisyen yang dikaji menggunakan Smart Learning Technology.

Dua set audio itu mempunyai peranan tersendiri dalam membentuk aktiviti gelombang otak bagi mencipta keadaan minda yang tenang dan ideal untuk belajar.

“Aplikasi ini menampilkan beberapa ciri menarik bagi membantu proses pembelajaran antaranya menyediakan kuiz yang mudah dan ringkas bagi mengenalpasti cara belajar yang sesuai untuk setiap pelajar.

“Ada tiga cara untuk belajar bagi setiap individu iaitu dengan penglihatan, pendengaran dan amali dan kuiz berkenaan bakal menentukan teknik belajar yang sesuai bagi setiap individu,” katanya dalam sidang media, di Pusat Kejuruteraan Kardiovaskular IJN-UTM, di FBME, pagi ini.

Profesor Dr Eko  berkata, aplikasi itu mengandungi bunyian klasik antaranya hujan, angin, burung dan ombak laut dimasukkan ke dalam siaran radio dan perlu didengar oleh pelajar selepas setengah jam belajar untuk memberikan ketenangan.

“Smart Learning Technology telah diuji di makmal kejuruteraan perubatan untuk pelajar lelaki dan perempuan berumur antara sembilan dan 24 tahun selama tiga bulan setiap hari mulai Isnin hingga Jumaat.

“Kajian juga dilakukan terhadap 25 pelajar di sebuah pusat tuisyen yang berumur antara sembilan dan 12 tahun dan mendapati pencapaian mereka meningkat hingga 90 peratus,” katanya.

Beliau berkata, teknik pembelajaran konvensional selama ini yang melibatkan hafalan, konsertasi dan disiplin diri yang tinggi dibuktikan oleh sains tidak menggunakan keseluruhan kapasiti semulajadi minda.

Pembelajaran secara konvensional menyebabkan pelajar mudah menghadapi tekanan serta keletihan dan masalah berkenaan dapat diatasi dengan teknik pelenturan gelombang otak melalui aplikasi berkenaan.

Smart Learning Technology yang dibangunkan dengan kerjasama MinDec Research Sdn Bhd telah dilancarkan dua bulan lalu boleh dimuat naik menerusi Apple Store dan Google Play.

Seramai 1,885 pengguna Android dan 400 OIS telah memuat naik aplikasi ini yang boleh digunakan secara percuma selama sebulan dan selepas itu jika mereka berminat akan dikenakan bayaran sebanyak USD0.99 sahaja.

Seramai empat penyelidik terbabit membangunkan aplikasi tesebut bermula pada 2010 yang telah memenangi anugerah BioInnovation Awards dan hasil penyelidikan berkenaan telah dibentangkan di The 11th International Conference on Cellular and Molecular Biology, Biophysics and Bioengineering di Seoul pada September 2015.

Dalam pada itu, kajian berkenaan inovasi tersebut telah diterbitkan dalam jurnal saintifik antarabangsa “Recent Advances on Biomedical Sciences” oleh World Scientific and Engineering Academy and Society pada tahun yang sama.

 

Explore More