April 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM bangun aplikasi mudah alih audit sijil halal Malaysia

JOHOR BAHRU, 12 Mac 2017 – Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membangunkan aplikasi pengauditan halal mudah alih pertama di dunia yang dapat membantu juruaudit persijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melaksanakan pengauditan persijilan halal Malaysia.

Dr. Mohamad Iskandar (kanan) bersama Prof. Wahid dan Pengarah Kampus Kuala Lumpur, Prof. Durrishah Idrus di majlis pelancaran aplikasi QuikHalal di Dewan Azman Hashim,UTMKL.

Aplikasi yang dinamakan QuikHalal itu dapat meningkatkan produktiviti juruaudit dengan mempermudah dan mempercepatkan pengurusan audit halal melalui perancangan audit yang efisyen, perlaksanaan audit lapangan yang efektif, pengumpulan bahan bukti secara sistematik, penjanaan laporan secara automatik dan perkongsian maklumat yang berkesan dan selamat.

Ketua Penyelidik, Dr. Mohd Iskandar Illyas Tan berkata, QuikHalal merupakan hasil penyelidikan bersama Makmal Penyelidikan Halal Informatik (HOLISTICS Research Lab) yang diketuainya dan Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (C-FiRST) yang diketuai oleh Prof. Dr. Farahwahida Mohd Yusof dan Prof. Madya Dr. Arieff Salleh Rosman.

Projek ini turut mendapat kerjasama penyelidikan dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL),  Institute of Industrial Technology (MiTEC) cawangan Johor Bahru dan diwakili oleh Dr. Zuhra Junaida Mohamad Husny.

“Kajian yang telah dilaksanakan oleh HOLISTICS Lab dan C-FiRST sejak tahun 2009 telah mendapat bantuan kewangan berjumlah RM500,000.00 dari dana universiti penyelidikan UTM.

“Usaha ke arah pengkomersilan QuikHalal ini telah bermula pada tahun 2015 dimana aplikasi ini telah terpilih sebagai pemenang Halal High Tech Challenge dan membolehkan HOLISTICS Research Lab memperolehi geran pengkomersilan HIP2 sebanyak RM257,000.00,” katanya.

HOLISTICS Research Lab telah ditubuhkan dan diiktiraf sebagai syarikat hiliran UTM dan aplikasi QuikHalal telah difailkan pada tahun 2016.

“Sehingga hari ini, QuikHalal telah berjaya dipasarkan melalui program Diploma Profesional Eksekutif dan Pengauditan Halal di mana 21 orang calon program tersebut telah dibiayai sepenuhnya oleh Agensi Inisiatif Koridor Utara (NCIA).

“Objektif program tersebut adalah untuk menghasilkan juru audit halal bertauliah yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan menggunakan teknologi QuikHalal dalam membantuk syarikat-syarikat lain mendapatkan sijil Halal dengan mudah, pantas dan bersistematik,” katanya.

Dr. Mohd. Iskandar berkata HOLISTICS telah menerima pelbagai tawaran dari pelbagai pihak yang ingin menggunakan aplikasi QuikHalal dalam operasi mereka.

“Pihak PlatCOM Ventures telah bersetuju untuk menandatangani kontrak bagi melanggan aplikasi ini selama 12 bulan untuk membantu mereka melaksanakan program pensijilan halal mereka.

“QuikHalal juga telah menerima lamaran perniagaan dan kolaborasi dari Wrigleys Malaysia Sdn. Bhd., sebuah syarikat bertaraf Multinasional di dalam menghasilkan pelbagai produk makanan,” katanya.

HOLISTICS Research Lab juga telah ke Fukuoka, Jepun pada Februari lalu untuk membantu syarikat-syarikat di sana mendapatkan sijil Halal dengan menggunakan QuikHalal.

“Ini adalah hasil dari lawatan oleh Universiti Kumamoto ke UTM pada Januari 2017 yang telah membuka peluang kepada kita untuk bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Hasil perbincangan dengan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman, pihak HOLISTICS Lab, C-FiRST dan juga Pejabat Harta Bina, satu persetujuan telah dicapai untuk melaksanakan projek pemandu menggunakan QuikHalal bagi memantau tahap kebersihan dan kualiti premis-premis makanan dalam kampus Johor Bahru dalam masa terdekat.

“Dengan sokongan semua pihak termasuk UTM, saya berharap QuikHalal akan memperoleh kejayaan dalam usaha kami untuk merealisasikan misi memartabatkan industri Halal antarabangsa melalui moto ‘Aspiring Halal Excellence’,” katanya.

Aplikasi ini telah dilancarkan secara rasmi oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar ketika perhimpunan bulanan staf pada 6 Februari 2017 di Dewan Azman Hashim, kampus Kuala Lumpur.

Explore More