April 24, 2024

Search
Close this search box.

Program Sangkutan UTM beri peluang kakitangan timba pengalaman

 JOHOR BAHRU, 20 Februari 2016 – Program Sangkutan (Attachment) anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mula diluluskan sekitar tahun 2015 bertujuan menghantar kakitangan terlibat bagi mendapatkan pengalaman berguna di organisasi terpilih.

Hazilla bersama kakitangan QUT, Australia.

Bagi kakitangan yanyg telah menjalani program berkenaan, peluang untuk mempelajari budaya pengurusan di organisasi pilihan masing-masing adalah satu pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan.

Bagi Penolong Pendaftar Kanan di Pejabat Naib Canselor, Hazilla Rahmat yang mengikuti program di Queensland University of Technology (QUT), Australia mendapati sistem integriti di sana amat tinggi.

“Mereka tidak mengamalkan sistem kad kedatangan sebagaimana di Malaysia kerana meletakkan kepercayaan yang tinggi pada kakitangan dan mereka pula membalas kepercayaan itu dengan menjadi pekerja yang cekap dan patuh pada masa.

“Di Australia, waktu bekerja yang diperuntukkan adalah 36 jam seminggu iaitu jika dibahagikan mengikut hari kiraannya adalah 7 jam 20 minit.

“Waktu bekerja bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada 4.00 petang dan terpulanglah kepada pekerja bagaimana untuk memaksimakan waktu kerja masing-masing,” katanya.

Penolong Pendaftar Kanan di Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Dina Azleema Mohamad Nor yang menjalani program sangkutan di Techhical University of Ostrava, Republik Chezh berkata, universiti berkenaan mengamalkan aspek kelestarian dan mengoptimakan penggunaan sumber dalam operasi harian.

Dina Azleema menjalani latihan di Makmal Komputer Technical University of Ostrava.
Zulfikar bersama penyelia di University of Hull, United Kingdom

Beliau berkata, universiti berkenaan menggunakan sensor bagi menghidupkan dan mematikan suis secara automatik untuk menjimatkan tenaga elektrik.

“University Ostrava juga menggunapakai tenaga manusia secara sepenuhnya apabila semua Ketua Jabatan tidak mempunyai Setiausaha Pejabat termasuklah Pengurus Sumber Manusia dan Pengarah Pejabat Antarabangsa.

“Disebabkan tiada peruntukan jawatan tersebut, pegawai-pegawai di jabatan berkenaan secara tidak langsung berfungsi sebagai Setiausaha Pejabat kepada ketua mereka,” katanya.

Beliau berkata, kakitangan di Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat di universiti berkenaan juga diberikan peluang  untuk menjadi jurulatih tanpa gaji tambahan bagi mengelakkan penglibatan konsultan latihan swasta yang mengakibatkan pertambahan kos.

Bagi Zulfikar Ahmad yang menjalani program sangkutan di University of Hull, United Kingdom pula berkata, terdapat beberapa perkara positif yang boleh diamalkan di UTM bagi  meningkatkan imej universiti.

Beliau berkata, beberapa perlakuan yang dikirakan boleh dijadikan contoh ialah sikap suka menolong yang dilihat ada pada staf dan mahasiswa universiti berkenaan walaupun pada waktu itu mereka sibuk dengan tugas masing-masing.

“Saya lihat mereka bekerja secara berpasukan serta amat menghormati antara satu sama lain dan tidak akan membenarkan sebarang perbuatan deskriminasi dan mengelakkan sikap prejudis antara mereka.

“Mereka juga dilihat menghantar nota ucapan terima kasih sama ada bertulis atau e-mail sebagai menghargai masa seseorang itu kerana menghargai mesyuarat atau perjumpaan,” katanya yang bertugas sebagai Pegawai Psikologi Kanan di Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni, UTM Kuala Lumpur.

Explore More