April 23, 2024

Search
Close this search box.

Komandan PALAPES UTM lawat latihan tahunan

JOHOR BAHRU, 1 Mac 2017 – Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kolonel (Kehormat) Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar telah membuat kunjungan ke kawasan Latihan Khemah Tahunan (LKT) di Felda Tenggaroh 1 dan 2, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

Profesor Wahid menyampaikan kata-kata semangat kepada anggota PALAPES.
Profesor Wahid meninjau anggota PALAPES mengadakan latihan.
Anggota PALAPES bersiap sedia untuk menghadapi musuh.
Anggota PALAPES mara ke kawasan mush.

LKT selama 10 hari itu diadakan di sekitar Tanjung Sedili bermula 22 Januari lalu disertai oleh hampir 190 Pegawai Kadet Intermediate dan Senior.

Semasa menyampaikan ucapan, Datuk Wahid berkata, latihan ketenteraan yang dijalani oleh para pelajar akan dapat memupuk semangat jati diri, nilai patriotisme, sayang pada negara, setiakawan dan bekerjasama.

“Selain teknik peperangan, ketahanan diri, disiplin, pengurusan masa dan keupayaan untuk melaksanakan tugas pada bila-bila masa turut diterapkan dalam latihan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Komandan PALAPES UTM, Left Kol Dr. Mohd Noor Azli Ali Khan berkata latihan ketenteraan yang dilalui oleh para pelajar dapat melatih mereka mengetahui keupayaan diri apabila berada  dalam keadaan yang tertekan dan mencabar.

Beliau berkata, ketahanan mental dan fizikal diuji dan pada masa yang sama keintelektualan pelajar turut diperlukan dalam melaksanakan setiap fasa dalam latihan ketenteraan yang dilaksanakan sepanjang LKT.

Manakala Pegawai Kadet Senior, Pegawai Rendah Kanan (PRK) Mohd Ammarul Haziq Saidin berkata pengalaman menjalani latihan ketenteraan semasa bergelar pelajar amat berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

“Saya berterima kasih kepada pihak markas PALAPES UTM yang sentiasa proaktif dalam memberi pendedahan baru semasa latihan termasuklah penggunaan anjing pengesan dari Cawangan Serigala PULADA.

“Penggunaan anjing pengesan bagi menjejak musuh semasa melaksanakan latihan serang hendap adalah pengalaman yang sangat menarik,” katanya.

Beliau berkata, antara objektif yang cuba diterapkan sepanjang LKT ialah mendedahkan Pegawai Kadet mengenai kehidupan dan rutin dalam pasukan dan di medan perang.

Katanya, LKT menguji ketahanan mental, fizikal dan prestasi Pegawai Kadet dalam latihan melawan insurgensi, peperangan konvensional, memerintah Platun dan Seksyen.

Explore More