April 26, 2024

Search
Close this search box.

Warm Mix Asphalt jimat kos turap jalan kampung

MERSING, 6 Februari 2017 – Teknik pembinaan jalan menggunakan bahan campuran Warn Mix Asphalt (WMA) untuk menurap jalan kampung dapat mengurangkan kerosakan dan menjimatkan kos sehingga 30 peratus berbanding penggunaan Hot Mix Asphalt (HMA).

Pelajar pasca siswazah mengambil bacaan suhu WMA selepas diturap.

Penyelaras program pemindahan teknologi dan penilaian kaedah reka bentuk turapan jalan kampung, Profesor Dr Mohd Rosli Hainin berkata, WMA dapat mengurangkan pencemaran udara apabila pelepasan Karbon Dioksida dikurangkan.

Menurutnya, pencemaran alam sekitar dapat dikurangkan kerana proses menghasilkan WMA menggunakan suhu yang lebih rendah iaitu 130 darjah Celsius berbanding HMA yang memerlukan suhu sehingga 160 darjah Celsius.

“Umum mengetahui bahawa jalan luar bandar sering mengalami kerosakan disebabkan oleh teknik campuran dan reka bentuk campuran yang kurang sesuai dengan trafik sebenar.

Peserta program memeriksa alat mengukur ketumpatan yang digunakan untuk mengukur asphalt.

“Keadaan menjadi lebih buruk apabila bahan campuran asphalt yang panas perlu dihantar ke kawasan luar bandar yang jauh dari loji campuran dan laluan masuk yang sukar menyebabkan campuran menjadi sejuk,” katanya.

Beliau berkata demikian di program menurap jalan kampung usahasama Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Inovasi Strategik Johor(IISJ), Infra Desa (Johor) Sdn Bhd dan Segamat Quarry di Kampung Air Merah, dekat sini hari ini.

Program menurap jalan sepanjang 180 meter itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi.

Profesor Rosli (dua dari kanan) bersama Sadri dan Daeang Ibrahim melihat dokumen proses penurapan jalan kampung.

Yang hadir di majlis berkenaan Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam Profesor Dr Khairul Anuar Kassim, Ketua Kampung Air Merah Sadri Yusuf dan Ketua Kampung Bahagia, Sri Lumpur, Daeng Ibrahim Daeng Yaacob.

Profesor Dr Mohd Rosli berkata, asphalt yang sejuk menyukarkan kontraktor menurap jalan mengikut spesifikasi kerja jalan yang sebenar menyebabkannya murah rosak dan membahayakan keselamatan pengguna.

Pembinaan jalan kampung menggunakan WMA adalah yang pertama diperkenalkan di negara ini.

Program berkenaan membabitkan lebih 50 peserta dari UTM, Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya Dearah, Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR Create, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Infra Desa (Johor) Sdn Bhd, Segamat Quarry, Southern Premix, Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHM) Majlis Daerah Mersing, pelajar pasca siswazah dan pensyarah Pavement and Transportation Research Group.

Explore More