April 25, 2024

Search
Close this search box.

Penyelidik UTM hasil sistem nyah toksik dalam cengkerang

PONTIAN, 14 Januari 2017 – Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff berjaya menghasilkan penyelidikan Molluscure™ bagi membantu nelayan menyingkirkan logam berat dalam pelbagai jenis cengkerang.

Datuk Ahmad Maslan melihat peralatan yang digunakan untuk menyingkir logam berat dalam kerang.

Molluscure™ ialah sistem yang direka cipta untuk menyingkirkan logam toksik daripada spesis moluska seperti kerang, kupang, dan tiram bagi menepati piawaian kandungan logam yang dibenarkan standard seperti EU Commission Regulation 2006 dan Akta Makanan Malaysia 1985.

Prof. Dr. Abdull Rahim berkata, sistem yang diperkenalkan mampu menyingkirkan sehingga 98 peratus logam berat seperti plumbum, kuprum, nikel, kadnium dan arsenik dengan menggunakan kaedah nano buble.

 

Datuk Tee Siew Kong dan Datuk Ahmad Maslan menunjukkan kerang yang dibersih menggunakan Sistem Molluscure.

“Prototaip Sistem Molluscure™ yang dicipta boleh digunakan untuk membersihkan 700 kilogram kerang dalam masa dua setengah jam,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran oleh Timbalan Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan di Pasar Nelayan, Air Baloi dekat sini pagi ini.

Yang hadir di majlis berkenaan Pengerusi Jawatankuasa Pelancungan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kong, Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UTM, Prof. Dr Amran Md Rasli.

Prof. Dr. Abdull Rahim berkata, sistem Molluscure™ telah dipaten dan dilesenkan untuk dikomersialkan oleh syarikat Focus Industrial System Sdn. Bhd.

Projek penyelidikan itu dianggotai oleh Prof. Dr. Wan Azelee Wan Abu Bakar, Prof. Madya Dr. Razali Ismail, Dr. Faizuan Abdullah dan Ihsan Wan Azelee.

Kumpulan penyelidik UTM bersma Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Tee Siew Kong.

Sistem tersebut bermula dengan kajian Geran Universiti Penyelidikan (Tier 1) yang diketuai Prof. Dr. Abdull Rahim yang bertajuk “Sustainability Factors for Spawning and Growth of the Green Mussel at Danga-Pendas Straits” pada tahun 2011.

Kemudian, kajian ini diteruskan di bawah Geran Universiti Penyelidikan (Tier 2) yang bertajuk “Enhancement of Lysosomal Integrity for Heavy Metals Removal in Green Mussel Using Nanobubble Treatment”.

Penyelidikan berkenaan berjaya memenangi pingat emas dan anugerah “Interactive Invention Award” pada program Industrial Art and Technology Expo (INATEX) 2012 anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UTM dan Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) pada tahun 2013 anjuran Malaysian Association of Research Scientist (MARS).

Pada tahun 2014, Dr. Faizuan yang pada ketika itu merupakan pelajar PhD Prof. Dr. Abdull Rahim telah terpilih untuk menyertai sesi “pitching” anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UTM.

Pada program tersebut, ICC UTM telah bersetuju untuk menaja sejumlah RM 50,000 untuk membangunkan prototaip bagi sistem Molluscure™.

Prototaip yang telah dibina itu digunakan sebaiknya untuk melakukan kajian bersama Pusat Penyelidikan Perikanan (FRI) iaitu agensi dibawah Jabatan Perikanan Malaysia.

Pada awal tahun 2016 sistem Molluscure™ telah dianugerahkan dengan sebuah geran kerjasama bernama High Impact Program 2 (HIP2) Concept to Commercialization Gap Fund (CCGF) dibawah tajaan Platcom Ventures Sdn. Bhd. iaitu syarikat dibawah Agensi Inovasi Malaysia (AIM).

Geran pengkomersialan ini ialah bagi membangunkan sistem Molluscure™ pada skala industri bersama-sama rakan kolaborasi Focus Industrial System Sdn. Bhd.

Molluscure™ juga telah terpilih untuk sebagai salah satu projek dibawah Institut Kajian Strategik Johor (IISJ) untuk diperkenalkan kepada nelayan penternak kerang di Mukim Ayer Baloi, Pontian Johor.

Tujuannya ialah untuk mendedahkan teknologi ini kepada golongan sasar iaitu nelayan penternak spesis moluska terutama kerang yang mempunyai potensi pasaran yang sangat luas.

Explore More