April 25, 2024

Search
Close this search box.

KPAP sumbang RM 21,600 kepada UTM hasil urus pasar malam

Abd Samad (kanan) bersama rakannya menyelia peniaga.

JOHOR BAHRU, 2 Januari 2017 – Kelab Pembantu Am Pejabat (KPAP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memberi sumbangan terkumpul berjumlah RM21,600.00 kepada pengurusan universiti hasil penganjuran Bazar UTM, sejak 2013.

Hasil penganjuran bazar yang diadakan pada setiap Selasa di Laman Menanti membolehkan kelab berkenaan mengumpul RM9,000.00 bagi mengisi tabung kelab berkenaan.

Presiden KPAPUTM, Abd. Samad Abd. Razak berkata bazar itu dimulakan dengan konsep ‘Car Boot Sale’ bagi memberi peluang kepada staf dan pelajar menjual barangan peribadi terpakai.

Pelajar antarabangsa mencuba minuman dan makanan tempatan.
Pasar malam di Laman Menanti UTM.
Pelbagai jenis tudung dijual di pasar malam UTM.

 

“Program ‘Car Boot Sale’ terpaksa diberhentikan buat sementara selama dua tahun bermula 2011 disebabkan oleh masalah teknikal sebelum diambil alih oleh KPAPUTM pada tahun 2013.

“Kami menukarkan perniagaan secara ‘Car Boot Sale’ kepada konsep pasar malam bagi membolehkan lebih banyak barangan dijual, terutama makanan yang mendapat permintaan tinggi daripada pelajar dan staf,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya turut melalukan perubahan dengan membuka peluang berniaga kepada peniaga dari luar berbanding sebelum ini yang terbatas kepada mahasiswa dan kakitangan sahaja.

Berikutan itu, bilangan peniaga meningkat daripada lima orang pada tahun 2013 kepada 60 2014.

“Bilangan peniaga sehingga hari ini sekitar 60 ke 70 orang yang menjual pelbagai barangan seperti kraf tangan, pakaian, barangan kanak-kanak, pakaian terpakai, sayur-sayuran, makanan dan minuman,” katanya.

Bagi memastikan kelestarian kampus, Abd Samad berkata peniaga dikehendaki membawa pulang sampah masing-masing di samping mengharamkan penggunaan bekas makanan polistrina.

Explore More