April 25, 2024

Search
Close this search box.

IBDUTM buka cawangan pertama Bakawali SPA luar kampus

JOHOR BAHRU, 10 Januari 2017 – Institut Pembangunan Bioproduk Universiti Teknologi Malaysia (IBDUTM) telah mengorak langkah dalam pemasaran produk dengan membuka cawangan pertama Bakawali SPA di Taman Universiti.

Cawangan pertama di Jalan Pendidikan 8, Taman Universiti.

Pengarah Eksekutif Bakawali SPA, Jaffrey Samsul Bahrin berkata, pihaknya mengambil langkah berkenaan bagi membolehkan komuniti setempat mendapat akses kepada segala produk dan perkhidmatan yang disediakan.

“Premis yang terletak di Jalan Pendidikan 8, Taman Universiti memudahkan masyarakat di luar sana mendapatkan produk tanpa perlu masuk ke dalam kampus,” katanya.

Bakawali SPA yang mula beroperasi pada bulan Oktober 2016 setakat ini mempunyai seramai empat orang kakitangan yang terdiri daripada Eksekutif dan tiga pekerja am.

Produk disusun rapi untuk jualan.

Bercakap mengenai perancangan membuka cawangan di tempat lain, Jaffrey memberitahu  bahawa dua cawangan Bakawali SPA bakal dibuka dalam kawasan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Ini adalah satu lagi pelan pembesaran perniagaan yang telah kami rangkakan untuk membawa produk IBDUTM ke komuniti Kuala Lumpur memandangkan terdapat pasaran yang besar di sana.

“Cawangan pertama akan dibuka dalam kawasan kampus Kuala Lumpur iaitu di Pusat Komersil UTM manakala satu lagi akan ditentukan kemudian,” katanya.

Bakawali SPA adalah sebuah anak syarikat IBDUTM yang memasarkan hasil keluaran institut berkenaan.

Antara produk yang dijual adalah produk kesihatan dan pertanian di samping menyediakan khidmat urutan khusus untuk kaum wanita.

Explore More