April 21, 2024

Search
Close this search box.

UTM terima RM1 juta dari Johor Port

MEM
Dato’ Seri Che Khalib menyerahkan replika cek berjumlah RM1 juta kepada Profesor Wahid untuk Tabung Endowmen UTM.
sebahi
Sebahagian daripada pelajar UTM yang menerima biasiswa yang disampaikan oleh Dato’ Seri Che Khalib.

JOHOR BAHRU, 5 Disember 2016 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima sumbangan cek berjumlah RM1 juta daripada Johor Port Berhad (Johor Port) bagi mengisi Tabung Endowmen UTM, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Johor Port Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh kepada Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar sempena lawatan ke UTM dan penyampaian sijil Biasiswa Endowmen kepada pelajar tahun pertama Sarjana Muda.

Profesor Wahid berkata, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM5 juta yang dipersetujui menerusi memorandum perjanjian persefahaman yang ditandatangani pada Mac 2013 untuk mengisi Tabung Endowmen UTM.

“Menerusi perjanjian tersebut UTM menerima peruntukan sebanyak RM1 juta setahun untuk memberi biasiswa kepada pelajar Sarjana Muda yang cemerlang dalam pengajian.

“Selain itu sumbangan berkenaan juga digunakan untuk penajaan Kursi Profesor, aktiviti penyelidikan, penerbitan bahan saintifik dan program berimpak tinggi,” katanya.

Hadir sama dalam lawatan berkenaan Ketua Pegawai Eksekutif, Johor Port Berhad Haji Shahrull Allam Shah bin Abdul Halim.

Naib Canselor berkata, UTM menamakan Pusat Teknologi Marin kepada UTM-Johor Port Marine Technology Centre sebagai penghargaan sumbangan yang telah diberikan oleh Johor Port.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 2009, Tabung Endowmen UTM berjaya mengumpul dana sebanyak RM81 juta dan berjaya menaja biasiswa kepada seramai 600 orang pelajar.

“Tabung Endowmen ditubuhkan dengan matlamat menerajukan pendidikan, kebajikan dan meringankan penderitaan manusia.

“Amalan memberikan sumbangan diharap akan menjadi satu amalan dan budaya yang seterusnya akan membugarkan DNA individu dan institusi,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Sri Che Khalib berkata sumbangan yang diberikan untuk meningkatkan dana pembangunan pendidikan di UTM adalah selaras dengan tanggungjawab sosial korporat Johor Port.

“Menerusi sumbangan berbentuk biasiswa kepada pelajar diharap mereka lebih fokus dan berjaya dalam pengajian,’ katanya.

Explore More