April 18, 2024

Search
Close this search box.

Felda Ulu Tebrau lokasi pelancaran Model Kutipan Sisa Pepejal

Datuk Haji Maulizan menyampaikan hadiah kepada pemenang peringkat Felda terbersih.

JOHOR BAHRU, 13 Disember 2016 – Kampung Felda Ulu Tebrau dipilih sebagai lokasi pelancaran Model Kutipan Sisa Pepejal  sempena ‘Hari Sifar Sampah’ yang disertai oleh 100 pelajar Univesiti Teknologi Malaysia (UTM) dan 380 penduduk kampung, 10 Disember lalu.

Ketua projek, Prof. Madya Dr. Zainura Zainon Noor  berkata, program itu bertujuan membangunkan model kutipan sisa pepejal bagi membantu penduduk kampung yang tidak mempunyai sistem kutipan sampah  seperti yang terdapat di kawasan perbandaran.

“Ketiadaan program pengurusan sisa pepejal secara sistematik menyebabkan pelupusan dilakukan secara tidak lestari seperti pembakaran terbuka dan longgokkan boleh mengundang masalah persekitaran kesihatan seperti denggi, zika dan kencing tikus.

“Model ini dibangunkan hasil kerjasama pelbagai pihak merangkumi akademia, agensi kerajaan, masyarakat setempat dan industri diharapkan menjadi titik tolak kepada kutipan yang kemas dan sistematik serta pengamalan secara lestari,” katanya.

Pelajar UTM menyertai gotong royong membesihkan kawasan.

Beliau berkata, pemilihan FELDA Ulu Tebrau bersesuaian dengan inisiatif berkala yang dilaksanakan oleh penduduk kampung bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang sistematik dan berkesan di kawasan yang berada di luar kawasan operasi.

“Program ini adalah salah satu inisiatif Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ) dalam membantu membangunkan Johor menjadi lebih inklusif, lestari dan berinovasi,” katanya.

Program berkenaan adalah usahasama bersepadu oleh Pejabat Daerah Johor Bahru, UTM, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Ulu Tebrau, Syarikat Tahang, Felda Ulu Tebrau, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru.

Program itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Tiram Datuk Haji Maulizan Bujang  merangkap wakil rasmi Menteri Besar Johor.

 

Explore More