April 19, 2024

Search
Close this search box.

UTM – CGPV tingkat kebolehpasaran graduan UTM

Profesor Wahid
Profesor Wahid bertukar dokumen perjanjian dengan Jason Fu sambil disaksikan oleh oleh YB Vidyanathan a/l Ramanadhan dan Datuk Md Othman (dua dari kiri).

JOHOR BAHRU 8 November – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pemaju projek mega Forest City, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan menyedia peluang kerjaya.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Dewan Persidangan Johor 3, Forest City di Gelang Patah, hari ini disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Dan Sumber Manusia Negeri Johor, Vidyananthan a/l Ramanadhan.

UTM diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Pengarah Pusat Kerjaya UTM, Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim, manakala CGPV oleh Presiden Serantau (Malaysia) Country Garden Holdings merangkap Ketua Pembangunan CGPV, Jason Fu dan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Md Othman Yusof.

Profesor Wahid berkata, menerusi kerjasama itu, UTM akan menyediakan tenaga kerja berbakat bagi memenuhi permintaan CGPV dalam pelbagai program kerjasama seperti yang telah dipersetujui.

“UTM akan memastikan mahasiswa yang berpotensi merebut peluang dan tawaran yang disediakan oleh CGPV.

“Kerjasama ini dilihat sebagai pertukaran amalan terbaik daripada segi pengetahuan dan pengalaman antara dua pihak bagi memenuhi piawaian sektor hospitaliti serta bidang lain yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, UTM akan membantu menyediakan resume pelajar yang mantap dan berkualiti bagi memenuhi kekosongan jawatan di CGPV dan memastikan pelajar yang mengikuti program berkenaan mengikuti kursus bahasa Mandarin agar tenaga kerja yang dibekalkan oleh UTM mampu menguasai dan berkomunikasi dengan baik menggunakan bahasa berkenaan.

“Nilai tambah itu secara tidak langsung akan meningkatkan kebolehpasaran graduan UTM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Md. Othman Yusof berkata, kerjasama dua hala itu merupakan reaksi balas CGPV terhadap titah DYAM Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar untuk memastikan projek Forest City memberi pelbagai peluang pekerjaan khususnya kepada masyarakat tempatan.

“MoU ini merupakan permulaan kepada pelan pembangunan jangka panjang dalam membudayakan nilai keterangkuman di dalam pembangunan Forest City.

“Objektif kolaborasi ini adalah untuk menjana tenaga modal insan berkualiti menerusi pelan pendidikan khas, latihan industri dan pembangunan kerjaya,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu termasuk melatih graduan PhD UTM sebagai pelapis pemimpin masa hadapan CGPV.

“Program perlantikan ini akan bermula seawal bulan Disember 2016 dan sejurus selepas perlantikan, mereka akan ditempatkan di peringkat pengurusan kanan,” katanya.

Antara lain yang turut termaktub di dalam perjanjian itu termasuklah pengambilan graduan lepasan Ijazah UTM bagi mengisi kekosongan pekerjaan di Forest City khususnya dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan perniagaan.

Selain itu, CGPV juga dianggarkan bakal menerima pelajar praktikal yang akan menyertai kumpulan pertama menjalani latihan industri di CGPV pada Februari 2017.

“Adalah menjadi keutamaan kami untuk memastikan supaya limpahan ekonomi dari pembangunan Forest City turut sama dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia khususnya di Johor.

“Dengan adanya pertukaran kepakaran di antara CGPV dan UTM, kami berharap, graduan yang bakal dihasilkan UTM akan lebih berkualiti dan berdaya saing seterusnya menaikkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Explore More