April 20, 2024

Search
Close this search box.

Kerjasama UTM-PTL jimat RM18 juta

Prof. Azlan dan bertukar dokumen perjanjian di UTM Kuala Lumpur.
Prof. Azlan dan Dr Raymond bertukar dokumen perjanjian di UTM Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 21 November 2016 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pentalight Technology Sdn Bhd (PLT) menandatangani memorandum perjanjian bernilai RM18 juta untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik di kampus UTM Johor Bahru.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Dr Azlan Abdul Rahman berkata, kerjasama itu bagi menjimatkan penggunaan tenaga elektrik lampu jalan serta lampu kompaun untuk memacu infrastruktur kampus pintar.

Menurutnya, hasil penjimatan itu akan memberi pulangan jangka panjang kepada UTM bagi tempoh 10 tahun dalam bentuk pendapatan secara langsung dan dana penyelidikan kontrak untuk pembangunan infrastruktur kampus pintar berskala besar.

“Pelaksanaan projek ini akan ditanggung oleh PLT termasuklah pemasangan Sistem Pengurusan Bangunan di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah dan sistem lampu jalan pintar retrofit 3776 (advanced Smart LED streetlights).

“Projek ini dijangka dapat menjimatkan sebanyak 2.4 juta kWh atau RM650,000 setahun dan jumlah keseluruhan dijangka mencecah RM6.5 juta bagi tempoh 10 tahun,” katanya di majlis menandatangani perjanjian berkenaan di UTM Kuala Lumpur, hari ini.

Memorandum perjanjian itu ditandatangani oleh Prof Dr. Azlan dan Ketua Pengarah Eksekutif PLT, Dr. Raymond Tang Chee Lian.

Profesor Dr Azlan berkata, UTM telah berjaya menjimatkan kos penjimatan tenaga elektrik berjumlah RM21 juta atau 46 juta kWh bagi tempoh enam tahun sejak Oktober 2011.

Kejayaan itu adalah hasil  program penjimatan tenaga yang dimulakan seawal tahun 2003 melalui model perniagaan Energy Performance Contracting (EPC) dengan kerjasama industri dan agensi kerajaan yang tidak melibatkan kos oleh UTM.

“UTM mendapat pengiktirafan tiga bintang dalam pencapaian penjimatan tenaga dan projek EPC ini akan menggunapakai pintaran buatan untuk mencapaikan taraf prestasi lebih tinggi lagi.

“Melalui projek berkenaan UTM telah bekerjasama dengan unit “Building Sector Energy Efficiency Project (BSEEP)” di Jabatan Kerja Raya (JKR) dan UNDP dengan sokongan Global Environment Facility,” katanya.

Beliau berkata, BSEEP akan membantu membangunkan UTM/PLT EPC melalui satu kumpulan khusus bagi membina kapasiti dan menyediakan sokongan teknikal terhadap usaha berkenaan.

Manakala, PLT akan menyediakan kepakaran serta menyelaraskan proses EPC dengan teknologi dan kawalan terkini, yang mana perkhidmatan, teknologi dan kewangan akan diberi kepada UTM.

“Memandangkan perkhidmatan EPC masih di peringkat awal di Malaysia, projek EPC UTM akan menjadi projek contoh dan penanda aras kepada pelaksanaan EPC di bangunann kerajaan dan swasta.

“UTM akan menjadi universiti awam pertama di Malaysia memperolehi 10 peratus daripada penjimatan tersebut dalam bentuk dana penyelidikan berkaitan teknologi penjimatan tenaga dan pembangunan infrastuktur kampus pintar yang akan dijalankan oleh penyelidik UTM bersama PLT,” katanya.

Katanya, usahasama berkenaan akan menjadikan UTM sebagai pusat penyelidikan teknologi hijau dan kepintaran buatan berkaitan pengurusan tenaga yang tercanggih dan terkehadapan di Asia.

Explore More