April 25, 2024

Search
Close this search box.

CEE UTM latih tenaga pengajar dari Afghanistan

Peserta kursus dari Afghanis
Peserta kursus dari Afghanistan bergambar bersama Prof. Wahid (duduk di tengah).

JOHOR BAHRU, 1 November 2016 – Pusat Pendidikan Kejuruteraan atau Centre for Engineering Education (CEE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dilantik sebagai pakar rujuk oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Afghanistan untuk membantu memajukan pendidikan tinggi di Afghanistan.

Pengarah CEE, Prof. Dr. Khairiyah Mohd Yusof berkata, program berkenaan adalah di bawah kendalian Bank Dunia untuk menyediakan latihan khususnya dalam Pendidikan Berasaskan Hasil atau Outcome-Based Education (OBE) dan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar atau Student-Centred Learning (SCL).

Menurutnya, beliau telah dihubungi oleh Pakar Pendidikan Kanan Bank Dunia, Kurt Larsen pada tahun 2015 untuk merancang pelbagai program latihan dan pembangunan bagi melahirkan pensyarah Afghanistan yang boleh menjadi perintis dalam OBE dan SCL.

Prof. Wahid berkenalan dengan salah seorang peserta.
Prof. Wahid berkenalan dengan salah seorang peserta.

“Projek bertajuk “Modernizing Higher Education of Afghanistan” atau “Pemodenan Pendidikan Tinggi Afghanistan” yang ditaja oleh Bank Dunia bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di Afghanistan melalui perubahan kurikulum, kaedah mengajar, latihan pensyarah melalui kursus jangka pendek dan pengajian jangka panjang.

“Pakar daripada CEE UTM iaitu Prof. Dr. Shahrin Mohammad dan Dr. Syed Ahmad Helmi Syed Hassan dan saya sendiri telah memberikan kursus OBE dan SCL kepada kira-kira 160 pensyarah di Afghanistan dalam dua lawatan ke negara tersebut pada November 2015 dan Mei 2016,” katanya.

Beliau berkata, pada 25 Oktober 2016 sehingga 5 November 2016, 24 wakil pensyarah yang terpilih dibawa ke UTM untuk mengikuti kursus “Training of Trainers” (ToT) bagi melahirkan pensyarah Afghanistan yang mampu melatih pensyarah lain di negara berkenaan.

Dalam tempoh tersebut, mereka mengikuti kursus OBE, Pentaksiran, SCL, Pembelajaran Aktif, Pembelajaran Kooperatif, e-learning dan Pembelajaran Bersepadu (Blended Learning).

“Sasaran jangka pendek yang diletakkan oleh World Bank adalah untuk melahirkan 150 orang pakar OBE dan SCL dalam kalangan pensyarah Afghanistan pada tahun 2017.

“Projek ini akan berterusan sehingga tahun 2026 dengan pelbagai sasaran jangka panjang yang telah ditetapkan oleh Bank Dunia bagi memodenkan pendidikan tinggi di Afghanistan,” katanya.

Prof. Khairiyah  berkata, dalam tempoh yang sama, delegasi dari Afghanistan dibawa melawat kemudahan pembelajaran dan pengajaran di UTM, antaranya Perpustakaan Raja Zarith Sofia, Fakulti Pendidikan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Pengkomputeran, Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan dan pusat penyelidikan di UTM.

Mereka berpeluang bertemu dengan Naib Canselor Datuk Prof. Dr. Wahid Omar dan menyatakan hasrat untuk menghantar pensyarah mereka untuk menyambung pengajian pasca siswazah di UTM.

Satu Perjanjian Persefahaman (MoU) bakal dimaterai antara UTM dengan Kementerian Pendidikan Tinggi Afghanistan.

Explore More