April 20, 2024

Search
Close this search box.

UTM catat sejarah lahir 619 graduan PhD

Naib Canselor mengadakan sidang media mengenai Konvokesyen ke-57 di pejabat beliau.
Naib Canselor mengadakan sidang media mengenai Konvokesyen UTM ke-57 di pejabat beliau.

JOHOR BAHRU, 17 Oktober 2016 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya melahirkan seramai 619 orang graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam tempoh 10 bulan mulai Januari tahun ini.

Naib Canselor Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, jumlah berkenaan dijangka bertambah kepada 719 orang menjelang akhir tahun ini berbanding 616 graduan bagi tempoh Januari hingga Disember pada tahun 2015.

Menurutnya, bilangan berkenaan adalah yang tertinggi pernah dihasilkan dalam tempoh setahun sejak Dr Ahmad Zaki Abu Bakar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik menjadi graduan sulung menerima PhD dari UTM pada tahun 1989.

“Pada Konvokesyen Ke-57 yang akan berlangsung pada 22 hingga 25 Oktober 2016, seramai 362 graduan PhD akan menerima ijazah yang akan disampaikan oleh Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofiah bt Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor.

“Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 5,467 graduan yang terdiri daripada 362 PhD,  873 Sarjana, 2,533 Sarjana Muda dan 733 Diploma akan menerima ijazah dan diploma. Jumlah berkenaan termasuk 966 graduan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma program kerjasama dengan Institusi Pengajian Swasta,” katanya semasa sidang media memaklumkan mengenai Majlis Konvokesyen ke-57 di pejabatnya, hari ini.

Profesor Wahid berkata, seramai 25 orang graduan yang terdiri daripada Pegawai Tadbir Negeri di bawah tajaan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) yang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Pentadbiran dan Pembangunan Tanah di Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah turut menerima Ijazah Sarjana. Mereka telah memulakan pengajian pada Februari 2014 dan tamat pada Mac 2016.

“Kumpulan kedua seramai 21 Pegawai Tadbir Negeri di bawah tajaan SUKJ telah mendaftar untuk mengikuti pengajian di peringkat sarjana di Sekolah Perniagaan Antarabangsa (IBS).

“Tawaran mengikuti pengajian di peringkat sarjana di UTM adalah inisiatif Menteri Besar Johor Dato’ Mohamed Khaled Nordin bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus Pegawai Tadbir Negeri memiliki Ijazah Sarjana bagi melahirkan penjawat awam yang berkelayakan dan mampu memantapkan perkhidmatan awam Johor,” katanya.

Beliau berkata, beberapa peristiwa bersejarah akan berlaku pada konvokesyen kali ini antaranya pelantikan Tan Sri Dato’ Dr. Lin See-Yan sebagai Pro Canselor yang baharu bagi menggantikan Dato’ Dr. Muhammad Ridzuan Hj. Salleh yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 15 Mac 2016. Tarikh pelantikan Tan Sri Dato’ Dr. Lin See-Yan berkuatkuasa mulai 1 Julai 2016 hingga 30 Jun 2019.

Sementara itu, mantan Timbalan Naib Canselor Pembangunan UTM, Dr. Ismail Kailani akan dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus oleh DYMM Raja Zarith Sofiah.

Dalam pada itu, buat pertama kali dalam sejarah, UTM akan menganugerahkan Ijazah Anumerta kepada waris graduan yang telah meninggal dunia. Mereka telah berjaya menyelesaikan lebih 80 peratus pengajian sebelum meninggal dunia.

Graduan berkenaan ialah Allahyarham Yahaya Bashir dari Nigeria yang mengikuti pengajian di peringkat PhD Kejuruteraan Mekanikal meninggal dunia akibat serangan jantung pada 10 Oktober 2015.

Manakala graduan Sarjana Muda Perakaunan, Allahyarhamah Fatin Farah Wahhida Azahar dari Batu Pahat, Johor dan graduan Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia, Allahyarham Mohd Shafiq Ellmal Abdul Shukor dari Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor dari Fakulti Pengurusan meninggal dunia pada hari yang sama, 26 April 2016.

“Fatin Farah Wahhida meninggal akibat komplikasi jantung semasa mengikuti latihan industri di Kelang, Selangor manakala Mohd Shafiq Ellmal meninggal akibat kemalangan jalanraya semasa dalam perjalanan menghadiri latihan industri di Bandar Penawar,” katanya.

Majlis Konvokesyen ke-57 menyaksikan seramai 349 orang graduan antarabangsa dari 35 buah negara yang  mengikuti pelbagai kursus akan menerima ijazah. Iran adalah negara yang mendahului senarai dengan 91 graduan diikuti oleh Nigeria dan Indonesia masing-masing 55 orang graduan.

Jumlah graduan antarabangsa yang dihasiklkan oleh UTM sehingga konokesyen ke 57 bagi PhD 192, Sarjana 118, Sarjana Muda 38 dan Diploma, satu. Jumlah keseluruhan graduan yang dikeluarkan sejak tahun 1972 berjumlah 180,425 orang.

Explore More