April 23, 2024

Search
Close this search box.

UTM Tubuh Jawatankuasa Siasatan Kandungan Slaid Kontroversi

JOHOR BAHRU 22 Jun 2016 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil tindakan segera berhubung isu slaid pengajaran berkaitan agama Hindu dan Sikh untuk kursus TITAS yang menjadi kontroversi dengan menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menangani isu bekenaan.

Jawatankuasa itu diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr Rose Alinda Alias dan dianggotai oleh beberapa pemimpin akademik termasuk tiga ahli yang berlainan agama dan bangsa yang bukan terdiri daripada orang Melayu beragama Islam. Penglibatan mereka diperlukan bagi melihat isu tersebut dari perspektif lain secara adil dan telus.

Siasatan yang dijalankan oleh jawatankuasa berkenaan telah mengenalpasti pensyarah yang terlibat dalam isu tersebut yang merupakan staf akademik berstatus kontrak. Pensyarah tersebut telah diminta untuk memberikan penjelasan mengenai kandungan bahan pengajaran kursus TITAS yang digunakan termasuk slaid, buku dan rujukan bagi menyokong kesahihan kandungan pengajaran.

Selepas mendapat penjelasan lisan dan bertulis dari segi isi kandungan dan bahan rujukan yang digunakan oleh pensyarah berkenaan, UTM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas luar UTM yang dianggotai oleh tiga pakar TITAS iaitu Profesor Zaid Ahmad dan Profesor Madya Dr Sarjit Singh a/l Darshah Singh dari Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Profesor Dr Rajantheran a/l Muniandy dari Universiti Malaya (UM) bagi mendapatkan penilaian dan kesahihan maklumat yang dikemukakan.

Semua maklumat dan bahan yang diberikan oleh pensyarah berkenaan telah diberikan kepada jawatankuasa bebas luar tersebut untuk disemak dan dikaji kesahihannya dan mereka diminta juga untuk menentukan kesesuaian laras bahasa yang digunakan oleh pensyarah berkenaan.

Jawatankuasa bebas luar itu juga diminta untuk membuat penilaian dan menyediakan laporan. UTM akan menentukan bentuk tindakan yang sesuai selepas menerima laporan tersebut.

Explore More