April 19, 2024

Search
Close this search box.

Air dari mesin rawatan UTM selamat diminum

JOHOR BAHRU, 24 Mei – Air yang dihasilkan oleh mesin rawatan air inovasi penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dibuktikan bersih dan selamat untuk diminum hasil analisis kualiti air yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Pengarah Pusat Penyelidikan Membran Termaju (AMTEC), UTM  Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, keputusan ujian kualiti air itu seiring dengan ujian di makmal yang dibuat oleh kumpulan penyelidik yang diketuai oleh beliau.

Menurutnya, analisis kualiti air itu dijalankan ketika agihan mesin air dibuat pada 10 Mei dan 11 Mei lalu ke tiga daerah di Kelantan iaitu di Kota Bharu, Tanah Merah dan Kuala Krai yang dibuat terus ketika serahan mesin itu dilakukan.

“Hasil analisis air yang diambil di Sungai Kelantan di Tanah Merah dan Sungai Nal di Kuala Krai kandungan mendapati pH air yang dihasilkan adalah dalam julat selamat untuk diminum iaitu antara 6.5 hingga 8.5.

“Manakala kandungan coliform iaitu indikator digunapakai dalam kualiti air dan makanan mendapati ianya berkurangan selepas air itu dirawat menggunakan mesin berkenaan dan ini menandakan kualiti air yang dihasilkan lebih baik,” katanya.

Profesor Dr Ahmad Fauzi berkata, di samping itu, rawatan melalui mesin bekenaan mampu menapis bakteria e.coli yang terdapat di Sungai Nal yang boleh memudaratkan kesihatan manusia sekiranya diambil secara berterusan dalam satu jangka masa yang lama.

Katanya, sampel air daripada rawatan air itu didapati mampu menyingkirkan bakteria sehingga seratus peratus dan berupaya menapis bendasing yang halus untuk menghasilkan air yang jernih dan selamat diminum.

“Keputusan analisis air berkenaan diperolehi daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan minggu lepas,” katanya.

Explore More