April 26, 2024

Search
Close this search box.

TUKUN IKAN TIRUAN KONKRIT PERTAMA DI JOHOR ELAK PENCEROBOHAN PUKAT TUNDA HARAM

MERSING, 21 November 2015 – Sebanyak 12 buah tukun tiruan diperbuat daripada konkrit berjaya dilabuhkan di perairan AirPapan, Mersing pada 21 November 2015 lalu. Tukun konkrit yang julung julung kali dihasilkan ini bukan sahaja mencatat sejarah buat negeri Johor umumnya tetapi kepada komuniti nelayan Mersing sendiri kerana mampu meningkatkan pendapatan sehingga tiga kali ganda. Tukun ini dihasilkan daripada penyelidikan selama tiga tahun oleh penyelidik UTM, Dr. Alice Sabrina daripada Fakulti Alam Bina bersama pihak SEAFDEC (South East Asian Fishery Department Centre) dengan menggunakan Dana UCTC daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

Projek komuniti UCTC ini adalah bertepatan dengan sasaran kerajaan membasmi kemiskinan luar bandar.
Majoriti nelayan tradisi di Kuala Sungai Mersing yang berjumlah 1200 orang berasal dari lima penempatan perkampungan nelayan tradisi merangkumi Kampung Sri Pantai, Tanjung Genting, Teluk Buih, Tanjung Resang dan Air Papan ini hanya mencatat pendapatan isi rumah di antara RM200 ke RM500 sebulan. Ini berikutan ancaman pencerobohan pukat tunda serta pencemaran daripada aktiviti-aktiviti akuakultur dan pertanian.
Khusus bagi mengatasi masalah pencerobohan kapal tunda haram, tukun ini direka bentuk khas dengan unjuran konkrit berbentuk tanduk pada setiap sisi bertujuan untuk menyangkuk tali tunda atau isi pukat tunda haram. Pemilik pukat tunda haram pasti mengalami kerugian besar jika tali tundanya tersangkut di tukun ini dan tidak lagi cuba menunda di kawasan tersebut.
Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Malaysia (JPM 20042015), tiada lagi tukun ikan tiruan yang dilabuhkan untuk membantu nelayan tradisi sebaliknya, tukun ikan tiruan yang banyak dilabuhkan di perairan Taman Laut Johor berciri rekreasi untuk memulihara ekosistem marin dan hidupan laut sahaja. Justeru, rekaan tukun UTM yang asalnya berbentuk segi tiga tetapi diubah menjadi segi empat disebabkan oleh keadaan dasar laut yang 99% bersedimen lumpur serta 1% pasir. Ketinggian juga ditambah kepada 1.5 meter supaya tukun tidak terbenam. Ini bertujuan untuk menambah kawasan ikan di bahagian atas tukun agar boleh berlegar dalam struktur tukun bagi menggantikan bahagian tapak di bawah yang terbenam sepenuhnya ke dalam lumpur.
Sebuah tukun adalah berukuran 4650 meter panjang, 3 meter lebar dan 4275 meter tinggi. Kerangka tukun ikan tiruan pula dikuatkan dengan besi Y12 dan juga BRC A10. Permukaan tukun yang luas menjadi asas kepada pertumbuhan flora dan fauna marin yang menjadi sumber makanan pada kawanan ikan yang berkumpul berdekatan tukun. Konkrit gred 50 digunakan untuk memastikan struktur ini tahan lama dan tidak retak semasa proses mengangkut dan melabuh. Berat setiap tukun ialah 18 tan
metrik dan berfungsi antara 20 tahun ke 40 tahun. Bentuk dinding depan dan belakang tukun yang bersudut 90 darjah ini akan menolak air laut yang kaya dengan nutrien ke permukaan laut dan mewujudkan fenomena ’upwelling’ atau julang air. Ini akan menjadikan kawasan tapak tukun kaya dengan plankton dan menjadi tumpuan ikan pelagik yang kecil. Ikan pelagik yang kecil ini akan menarik perhatian ikan besar seperti tenggiri untuk berada berdekatan kawasan tukun. Bahagian bawah pula akan didiami oleh ikan demersal seperti ikan kerapu, jenahak, siakap, kunyit, remong, tetanda, udang karang dan sebagainya yang berkualiti tinggi. Kos sebuah tukun adalah RM5,000 manakala kos pengangkutan dan melabuh adalah sekitar RM60,000.
Sebanyak 12 buah tukun diletakkan dalam jarak 50m dari satu sama lain dengan anggaran tapak seluas 150meter x 150 meter. Dengan jumlah 12 modul unit dalam 1 kawasan tapak, sebanyak 5 buah bot nelayan boleh memancing pada satu- satu masa. Ini bukan sahaja akan membenarkan pembiakan ikan pelagik dan demersal secara besar- besaran tetapi lokasi tukun ini juga boleh menjadi pusat destinasi pemancing rekreasi. Sebagai contoh, kejayaan nelayan Daerah Yan di Kedah yang menjadikan kawasan Tuas sebagai kawasan memancing rekreasi yang boleh menyara kehidupan nelayan tradisi sepanjang tahun walaupun pada musim tengkujuh.
Berdasarkan kajian kes dan rekod dari pihak SEAFDEC dan JPM pada tahun 2011-2014, pembinaan tukun ikan yang telah dilakukan di 20 pangkalan nelayan di Terengganu mencatatkan peningkatan kepada purata penangkapan ikan. Purata paling tinggi bilangan ikan direkodkan ialah 2734 ekor pada tukun yang dilabuhkan di Kuala Terengganu dan biomas pula ialah 150kg/modul selepas 11 bulan tukun dilabuhkan. Sekaligus telah menambah pendapatan nelayan tradisi daripada cuma RM200 kepada RM700.00 ke RM,1000.00 sebulan selepas 3 bulan tukun dilabuhkan di dasar laut. Selain itu, penyewaan bot untuk pemancing rekreasi dari dalam dan luar negara juga akan meningkatkan pendapatan sampingan nelayan di antara RM300 ke RM 450 sehari atau mengikut bilangan jam iaitu RM 50/jam.

 

Explore More