April 25, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa Kolej Perdana Menjayakan KACOMS II ’15 di Sedili, Kota Tinggi

Sedili, Johor – Pada 29 oktober hingga 1 November 2015 telah berlangsungnya satu program Kampung Community Service II 2015 (KACOMS II ’15) anjuran Jawatankuasa Mahasiswa (JKM) Kolej Perdana di Sedili, Kota Tinggi yang melibatkan empat buah kampung iaitu Kampung Tuan Seh, Kampung Simpang, Kampung Sedili Kecil dan Kampung Gembut.

Pengarah program, Mohd Hamiddi bin Hurairi pelajar tahun 2 Seni Bina Kapal dan Kejuruteraan Luar Pantai menyatakan, program selama 4 hari 3 malam ini telah melibatkan seramai 97 orang peserta daripada Kolej Perdana yang terdiri daripada pelajar tahun 1,2 dan 3 daripada pelbagai kursus.
Program bermula dengan perasmian KACOM II ’15 yang telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia En Norazman bin Othman selaku pengurus besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggar (KEJORA).

Program ini juga telah memberi impak yang besar apabila dapat menyatupadukan kampung-kampung yang terlibat sekaligus mencapai hasrat KEJORA untuk menaiktaraf pembangunan di kawasan Sedili, Kota Tinggi pada masa akan datang.
Matlamat utama program ini untuk mendekatkan diri mahasiswa UTM kepada masyarakat sekaligus membentuk jati diri yang baik kedalam diri mahasiswa. Untuk pengetahuan, peserta yang terlibat telah berpeluang untuk tinggal bersama keluarga angkat mereka. Secara tidak langsung ini dapat mededahkan mahasiswa dengan kehidupan di kampung.

Antara aktiviti yang paling menarik perhatian adalah, rewang bersama penduduk kampung di Masjid Kg Tuan Seh yang terkenal dengan “lembu golek” dan gotong royong di sekitar kawasan masjid yang melibatkan mahasiswa UTM, penduduk kampung, rejimen artileri dan angkatan relawan.

Program ini juga menjadi platform menghulurkan sumbangan kepada penduduk kampung yang memerlukan. Bantuan yang dihulurkan berupa barangan asas dan sedikit sumbangan kewangan.

Selain itu, mahasiswa turut mengadakan sesi ziarah ke rumah penduduk miskin untuk bertanya khabar dan melihat sendiri kehidupan mereka. Selain menjalankan aktiviti meningkatkan nilai moral, program ini juga mengadakan aktiviti kerohanian iaitu kursus pengurusan jenazah yang di sampaikan oleh staf daripada pusat islam iaitu Dr Naemah Hamzah dan Ust Amrohazali Omar. Selain itu terdapat juga ceramah ilmiah dengan bertajuk “Resipi Keluarga Bahagia” yang di sampaikan oleh Dr Naemah Hamzah dan Ust Zakir Abd Razak.

Kesemua aktiviti ini mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat setempat.

Pada hari ketiga, 31 oktober, telah diadakan pula malam kebudayaan iaitu “Malam Citra Seni Budaya” yang bertempat di Padang Awam Tanjung Sedili. Malam Citra Seni Budaya ini telah dirasmikan juga oleh Pengurus Besar KEJORA iaitu Yang Berbahagia Norazman bin Othman. Terdapat 10 persembahan dan lima persembahan dibawakan khas daripada UTM sendiri iaitu persembahan gimik silat, dikir barat, tarian kebudayaan Cina dan India dan persempahan daripada PETARANA.
KACOMS II ’15 telah berakhir pada 1 November pada jam 5 petang dengan acara penyampaian cenderahati untuk ibu bapa angkat yang terlibat. Rata – rata peserta menzahirkan perasaan gembira dan teruja serta mengharapkan agar program khidmat masyarakat seperti ini dapat diteruskan lagi kerana program sebegini dapat memupuk nilai – nilai murni yang baik ke dalam diri mahasiswa.

 

Disediakan oleh Azlyana Adnan, 3 November 2015

 

Explore More