April 25, 2024

Search
Close this search box.

Persekutuan Seni Silat Cekak PSSCUTM Sertai Rekod Dunia

Kuala Lumpur, 29 Ogos 2015 – Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia telah mencipta sejarah dengan memecahkan rekod dunia dalam Guinness World Record (GWR) kategori Pembelajaran Silat Terbesar “The Largest Silat Lesson” yang merekodkan sejumlah 12,393 ribu pengamal Silat Cekak Pusaka Hanafi dari seluruh pelusuk dunia. Pembelajaran silat terbesar ini diketuai sendiri oleh YM Sheikh Dr. Hj. Md. Radzi Hj. Hanafi , pewaris Silat Cekak dalam program MySilat MyFest 2015 di Stadium Merdeka yang merupakan binaan yang bersejarah dimana pengisytiharan kemerdekaan dibuat 58 tahun dahulu. Pengumuman rekod dunia dibuat oleh wakil GWR, Mrs. Fortuna Burke dan disaksikan oleh YB Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Sebelum memecahkan rekod dunia yang diadakan sebelah petang, para peserta telah memecahkan dua rekod Malaysia iaitu “The Largest Silat Performance” dan “The Largest All Women Silat Performance” yang dipahat dalam Buku Rekod Malaysia (Malaysia Book of Records).

Di Johor, segala gerak kerja dalam bentuk promosi,pendaftaran, dan latihan sehingga program selesai oleh Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia dengan kerjasama Persatuan Seni Silat Cekak Universiti Teknologi Malaysia (PSSCUTM) yang menguruskan peserta dari UTM Johor Bahru. Sekitar 25% daripada jumlah keseluruhan peserta dari Johor (4000++) yang dikumpul sejumlah besarnya daripada pelajar menengah hingga institusi pendidikan tinggi termasuk UTM. Daripada UTM, lingkungan 90 orang pelajar dan 10 orang staf turut serta memecahkan rekod dunia yang julung kalinya diadakan di Malaysia.

Pencapaian ini telah meletakkan Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi di peringkat antarabangsa. Menurut YM Sheikh Dr. Hj. Md. Radzi, Pewaris Mutlak Silat Cekak,” Kami mahu meletakkan warisan bangsa kita di peringkat tertinggi dan dengan pencapaian ini, apabila masyarakat dunia mengatakan tentang Silat, mereka akan ingat Malaysia”.

Nota: Kepada pelajar dan staf UTM yang berminat untuk mempelajari Silat Cekak Pusaka Hanafi, pendaftaran telah dibuka. Sila hubungi PSSCUTM di talian 010-3221393.

Explore More