April 20, 2024

Search
Close this search box.

Melahu Enjin Kenderaan Ancaman Kesihatan dan Persekitaran, Amaran Don

Diterjemah dari artikel ‘Idling Vehicle Engines a Menace to Health & Environment, Warns Don‘ oleh Professor Jahangir Mirza.

Saya sering menyaksikan kereta, teksi, bas,dan lori dengan enjin yang masih hidup sewaktu dipakir dan tidak bergerak di atas jalan raya. Tabiat ini sangat berbahaya dan merugikan bukan sahaja pada kesihatan manusia, bahkan mendatangkan kesan yang buruk kepada alam sekitar. Para penyelidik sains telah membuktikan bahawa kenderaan melepaskan gas rumah hijau (GHG) yang mengakibatkan pemanasan global. Lebih membimbangkan, enjin hidup bagi kenderaan yang tidak bergerak menghasilkan jumlah GHG dua kali ganda. Jumlah GHG yang dihasilkan oleh kenderaan di seantero dunia telah mengatasi sumber-sumber CHG yang lain. Haba yang dihasilkan oleh enjin hidup disertai bau pembakaran bahan api adalah berbahaya kepada kesihatan manusia terutamanya kepada anak-anak kecil dan warga tua.

Baru-baru ini, sebuah artikel muka hadapan akhbar New Straits Times (23 Februari 2015) bertajuk “Blazing Threat” melaporkan, Malaysia akan mengalami peningkatan suhu pada bulan April. Para pakar telah memberi amaran, cuaca yang luar biasa ini akan mempengaruhi kesihatan manusia, mengakibatkan tekanan fizikal yang teruk sehingga membawa maut. Artikel ini seterusnya memperincikan tentang timbulnya masalah serius kepada ekosistem dan pertanian, gangguan bekalan air bersih, peningkatan dalam kes-kes penyakit bawaan air dan makanan, penyakit pernafasan dan jantung serta banyak lagi.

Kajian telahpun membuktikan bahawa 50% jumlah pelepasan gas ke udara datang dari penggunaan kenderaan. Bukti juga menunjukkan, sebuah enjin yang sedang ‘melahu’, iaitu satu keadaan di mana enjin dihidupkan tetapi kenderaan tidak bergerak, berupaya melepaskan gas dua kali ganda lebih banyak. Malaysia, sebagai sebuah negara yang mengalami pembangunan berkadar cepat dan pengembangan ekonomi, seharusnya bersedia menangani cabaran kesesakan lalu lintas dan tabiat membazir pemandu dengan meletakkan isu ini sebagai tumpuan utama.

Di sekitar kampus indah Universiti Teknologi Malaysia, Skudai sendiri, saya selalu melihat pelajar, pekerja, dan orang ramai melahu enjin kenderaan mereka selama beberapa minit semasa kenderaan dipakir. Saya terfikir adakah mereka tahu ataupun faham akibat daripada perbuatan yang yang sia-sia itu. Perkara sebegini sepatutnya dan seharusnya dielakkan atas sebab-sebab yang dijelaskan di atas. Tambah memalukan lagi, golongan elit yang terpelajar turut terlibat di dalam perbuatan ini sedangkan mereka seharusnya lebih tahu.

Sewaktu kesesakan lalu lintas , enjin kenderaan yang melahu berjam-jam lamanya akan menghasilkan haba yang banyak. Tambah memburukkan keadaan, zarah halus yang datang daripada asap ekzos sesebuah kenderaan akan disedut ke dalam kenderaan lain di belakangnya apabila mereka saling membuntuti. Penumpang secara tidak langsung menyedut wasap berbahaya selama berjam-jam lamanya. Penyelidikan saintifik telah membuktikan bahawa kepekatan asap dalam kenderaan yang sedang melahu adalah lebih tinggi berbanding udara luar sesebuah kesesakan lalu lintas tersebut. Kanak-kanak dan warga emas merupakan golongan yang sangat berisiko mengalami masalah pernafasan. Kanak-kanak bernafas dua kali lebih cepat berbanding orang dewasa lalu badan mereka menerima dua kali lebih banyak bahan pencemaran yang berbahaya ini.

Menurut ahli sains dan alam sekitar, perubahan iklim sememangnya sedang berlaku dan manusia bertanggungjawab sepenuhnya atas perkara ini. Berlakunya peristiwa-peristiwa buruk berkaitan cuaca (Taufan Haiyan di Filipina, Taufan Sandy di Amarika Syarikat, dan lain-lain) dan peningkatan berterusan tahap karbon dioksida, CO₂ di ruang atmosfera (398ppm; visitwww.co2now.org) adalah fakta yang tidak boleh dinafikan. Oleh itu, kita harus menerima kejadian ini sebagai satu amaran yang serius! Satu-satunya planet kita sedang menuju kehancurannya dan dunia pula seolah-olah sengaja menangguh tindakan yang diperlukan untuk menghentikan pengepaman CO₂ dan bahan pencemaran berbahaya lain ke ruangan atmosfera.

Setiap insan perlu berusaha untuk mengurangkan kesan perubahan iklim, menyekat pengeluaran gas rumah hijau,dan memelihara masa hadapan planet yang kita diami. Kita berhutang kepada generasi akan datang dan begitu juga kepada generasi sebelumnya. Apabila kita kurang membakar petrol, kita tidak memerlukan minyak yang banyak. Apabila kita mengurangkan penggunaan minyak atau bahan api fosil, kita dapat mengurangkan pemanasan global, meningkatkan kualiti udara yang kita sedut, dan melindungi kesihatan awam terutamanya anak-anak muda kita. Tidak dapat dinafikan, kita dapat mengurangkan perbelanjaan petrol sekali gus menjimatkan wang. Perlu ada kempen yang menarik untuk membangkitkan kesedaran di kalangan pemandu untuk mengubah sikap ini, yang secara tidak langsung memaksa penggubal undang-undang untuk meluluskan undang-undang terhadap perbuatan melahu yang sia-sia.

Jangan biarkan kenderaan anda melahu lebih daripada satu minit. Sewaktu mula menghidupkan enjin, enjin akan membakar petrol lebihan. Tetapi apabila enjin kenderaan anda melahu lebih daripada seminit, ia membakar lebih banyak bahan api berbanding apabila enjin dimatikan dan dihidupkan semula. Nasihat ini diberikan oleh Kesatuan Saintis Prihatin di Amerika Syarikat (http://www.ucsusa.org/).

Tidak disangkal lagi, langkah terbaik untuk mengawal aktiviti melahu seharusnya bermula dari pihak kerajaan dan agensi-agensi berkaitan, namun kita tidak seharusnya memandang rendah akan keberkesanan usaha meningkatkan kesedaran rakyat di dalam membendung pelepasan GHG yang makin meluas. Bersempena sambutan ke-45 Hari Bumi pada 22 April, mungkin pelajar-pelajar UTM boleh mengambil inisiatif berani untuk membendung tabiat melahu kenderaan mereka sendiri, serta turut membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu ini. Terdapat beberapa bandaraya di dunia yang mempunyai undang-undang kecil anti-melahu di tempat-tempat tertentu. Rakyat boleh menggesa kerajaan mereka dan juga syarikat-syarikat pengeluar kenderaan untuk menggiatkan penghasilan kenderaan cekap penggunaan bahanapi dengan segera. Setiap seorang daripada kita yang menduduki bumi ini harus berkongsi tanggungjawab untuk mengurangkan kesan karbon bagi menyelamatkan planet kita dari malapetaka.

Orang ramai hanya akan bersedia untuk menangani perubahan iklim ini jika mereka memahami perkaitannya. Memadangkan kebanyakannya percaya ini adalah masalah yang hanya bakal berlaku di masa hadapan, masing-masing kurang cenderung untuk bertindak menanganinya. Melalui kempen kesedaran akan kesan karbon terhadap orang ramai serta manfaat pada mereka sekiranya mereka lebih peka di samping menjadi pengguna bijak tenaga, pihak kerajaan mampu berperanan aktif bagi membaik pulih pekara ini di setiap tahap.

 

Prof. Jahangir Mirza

 

Professor Jahangir Mirza
UTM-Construction Centre
Institute of Smart Infras tructures and Innovative Construction (ISIIC)
Universiti Teknologi Malaysia
81310 Skudai, Johor Bharu
Johor, Malaysia
Tel: 010-8203240

Prof. Jahangir Mirza

 

 

Explore More