April 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM Dan DBP Bangunkan Kamus Dewan eBraille

Naib Canselor, Profesor Datuk Ir Dr Wahid bin Omar dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Haji Awang bin Sarriyan sedang mendengar penerangan berkenaan Panel eBraille.
Naib Canselor, Profesor Datuk Ir Dr Wahid bin Omar dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Haji Awang bin Sarriyan sedang mendengar penerangan berkenaan Panel eBraille.

JOHOR BAHRU, 9 Mac 2015 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkerjasam membangunkan Kamus Dewan Braille Elektronik (Kamus Dewan eBraille) untuk golongan orang kurang upaya penglihatan.

Projek menghasilkan eBraille telah dimulakan semenjak tahun 2009 oleh Kumpulan Penyelidik eBraille, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.

Projek penyelidikan ini dibangunkan menerusi dana yang disalurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Pembangunan Masyarakat (KPWKM).

Menerusi dana KPWKM, UTM telah membangunkan satu produk yang dikenali sebagai Panel eBraille elektronik yang membolehkan golongan kurang upaya penglihatan membaca bahan braille.

Kumpulan Penyelidik eBraille akan melakukan transformasi 65 jilid Kamus Dewan cetakan timbul untuk dijelmakan kepada buku elektronik yang berbentuk seakan pemacu pena komputer.

Bagi memastikan projek yang berinovasi tinggi ini menjadi realiti, UTM dan DBP memeterai perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Wahid bin Omar dan Ketua Pengarah DBP Datuk Dr. Haji Awang Bin Sariyan di UTM, Johor Bahru, hari ini.

Projek penyelidikan menghasilkan Kamus Dewan eBraille dibangunkan selepas mendapat permintaan tinggi daripada orang kurang upaya penglihatan semasa aktiviti mempromosikan al-Quran Braille dijalankan.

Penghasilan Kamus Dewan eBraille diharap dapat membantu mengembang dan memantapkan Bahasa Melayu dalam kalangan orang kurang upaya penglihatan kerana mereka juga berperanan sebagai ejen penyebaran dan pemerkasaan Bahasa Melayu.

Panel eBraille dan Kamus Dewan eBraille ini dapat meminima beban pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu bagi golongan kurang upaya penglihatan dan membuka era baru dalam keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

Kamus ini boleh dibawa ke mana sahaja untuk tujuan pembacaan dan pengajaran dan . berpotensi tinggi untuk dikembangkan kepada satu tahap yang lebih ideal dan mantap di peringkat dunia.

Selain itu, panel eBraille juga boleh digunakan untuk membaca buku-buku eBraille yang lain untuk bacaan dan rujukan golongan kurang upaya penglihatan.

Oleh itu, UTM dan DBP berharap agensi kerajaan, badan berkanun dan pihak swasta dapat menghulurkan sumbangan bagi membantu pembangunan buku-buku eBraille yang sedang diusahakan sebagai tanggungjawab sosial membantu golongan kurang upaya penglihatan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.

Explore More