April 25, 2024

Search
Close this search box.

Istilah UA ganti IPTA bagi Universiti Awam bermula 2015

JOHOR BAHRU, 9 Mac 2015 – Istilah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak lagi akan digunakan bagi merujuk kepada universiti awam sebaliknya akan diganti dengan perkataan Universiti Awam (UA) dengan berkuat kuasa serta merta.
Perkara ini telah diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Naib-Naib Canselor dan Rektor (JNCR) yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam usaha bagi memartabatkan universiti-universiti awam dalam negara.
Ketika mengumumkan perkara ini, Pengerusi JNCR Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata jawatankuasa itu sebulat suara mempersetujui bahawa istilah IPTA ditukar kepada UA bagi memberikan status yang lebih tinggi kepada universiti awam.
“Setelah mendapat persetujuan dari Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini, semua universiti awam di seluruh negara akan dikenali sebagai UA manakala istilah IPTA pula akan digunakan bagi merujuk kepada Kolej Komuniti dan Politeknik,” katanya.
Pertukaran ini akan melibatkan sebanyak 20 buah universiti awam dan lebih 60 Kolej Komuniti dan Politeknik di seluruh negara.
JKNCR juga turut memaklumkan bahawa bakal graduan dari 20 universiti awam di negara ini akan dibekalkan Penyata Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualification Statement) sebaik menamatkan pengajian bermula pada tahun ini.
“Penyata MQS ini adalah merupakan satu dokumen tambahan yang memaparkan maklumat terperinci tentang program pengajian serta segala aktiviti yang disertai penuntut seperti persatuan, program khidmat sosial dan sebagainya.
“Dengan adanya maklumat seperti ini akan memudahkan bakal majikan membuat penilaian terhadap graduan yang memohon pekerjaan dengan mereka,” katanya.
Beliau berkata dokumen MQS berkenaan akan disertakan bersama-sama ijazah dan transkrip pengajian penuntut di majlis konvokesyen masing-masing.
“Langkah ini merupakan salah satu dari usaha pihak universiti bagi melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah,” katanya lagi.
Mesyuarat yang berlangsung selama dua hari itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Prof Datuk Dr Asmah Ismail serta Naib-Naib Canselor dan Rektor universiti awam yang lain.

Naib-Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam bergambar kenangan sewaktu perasmian Mesyuarat Jawatankuasa Naib-Naib Canselor dan Rektor siri 1/2015 di UTM Johor Bahru.
Naib-Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam bergambar kenangan sewaktu perasmian Mesyuarat Jawatankuasa Naib-Naib Canselor dan Rektor siri 1/2015 di UTM Johor Bahru.

Explore More