April 24, 2024

Search
Close this search box.

Lawatan Kerja Delegasi UTM Ke Jakarta dan Bandung

Delegasi UTM seramai 5 orang diketuai oleh Datuk Naib Canselor UTM telah mengadakan lawatan kerja ke Jakarta dan Bandung mulai daripada 9 – 13 Februari 2015. Tujuan utama lawatan kerja ini adalah untuk mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat daripada universiti yang mempunyai kerjasama dan usahasama dengan UTM.

Lawatan Kerja ke BPPT

Pada 10 Februari 2015, delegasi UTM telah mengadakan lawatan ke Agency of Assessment and Application of Technology (BPPT) Indonesia yang terletak di Gedung BPPT. BPPT terletak dibawah Kementerian Riset, Teknologi dan Pengajian Tinggi negara Indonesia. BPPT menjalankan tujuh fungsi utama. Salah satu daripada fungsinya yang berkaitan langsung dengan UTM ialah mengendali dan memantau semua penyelidikan kerajaan negara Indonesia dan memberikan biasiswa kepada staff akademik mengikuti pengajian dalam dan luar negara.

Perbincangan dengan BPPT telah dipengerusikan oleh Ketua BPPT Dr Ir. Unggul Pryanto sendiri. Perbincangan dapat mengukuhkan hubungan BPPT-UTM Alliance yang telah berjalan sejak tahun 2012 dalam pelbagai aspek penyelidikan. Perbincangan juga meliputi PhD Industri dan model PhD industri yang terdapat di UTM serta kesediaan UTM menerima pelajar tajaan BPPT dalam PhD industri. Pihak BPPT memberikan keyakinan untuk terus bekerjasama dengan UTM khususnya dalam bidang penyelidikan dan penerbitan. Dua daripada 6 orang delegasi UTM telah dibawa melawat tapak projek dan makmal dibawah kelolaan BPPT.

Lawatan Kerja ke BINUS University

Disebelah petang 10 Februari 2015, delegasi UTM mengadakan pertemuan dan perbincangan ringkas dengan pengurusan tertinggi BINUS University di Kampus Anggerik. Delegasi UTM telah disajikan dengan perkembangan kampus dan program akademik di BINUS University. BINUS University mempunyai kekuatan dalam program Teknologi Maklumat. Rektor dan pengurusan tertinggi BINUS University mempunyai pandangan positif terhadap kemampuan UTM dalam bidang teknologi dan kejuruteraan. BINUS University memberikan komitmen untuk menghantar staf membuat PhD di UTM dalam rangka meningkatkan kelayakan akademik staffnya selain daripada pertukaran pelajar dan staf, dan usahasama dalam penyelidikan dan penerbitan. Lawatan diserikan lagi dengan majlis menandatangani Mock-Up MoU antara BINUS University dan UTM yang disempurnakan oleh Rektor BINUS University dan Naib Canselor UTM. MoU sebenar telah ditandatangani oleh kedua pihak pada bulan Januari 2015. Dua orang staf BINUS University telah menyatakan kesediaan untuk mengikuti pengajian diperingkat PhD di UTM. Calon telah diminta mengisi borang permohonan secara online.

 

Lawatan Kerja ke Institut Teknologi Bandung (ITB)

Lawatan kerja Delegasi UTM ke Bandung dimulakan dengan majlis makan malam bersama pengurusan tertinggi ITB dan juga Dato’ Prof Dr Zainai Mohamed selaku wakil Razak School UTM. Majlis makan malam ini dianjurkan bersama oleh Razak School UTM dan ITB. Razak School UTM dan ITB secara bersama menjadi penganjur konferen antarabangsa. Pihak ITB yang diketuai oleh rektornya telah memberikan kesepakatan untuk meneruskan kerjasama dalam pelbagai bidang dengan UTM.

Pada 11 Februari 2015, delegasi UTM bersama Dato’ Prof Dr Zainai Mohamed mengunjungi Pejabat Rektor ITB di Rektorat. Lawatan dimulakan dengan sesi perbincangan ringkas dan majlis menandatangani pernyambungan MoU dengan ITB. UTM dan ITB masing-masing diwakili oleh Rektor ITB dan VC UTM. Rektor ITB menyatakan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan UTM dalam pelbagai bidang penyelidikan dan pertukaran staf dan pelajar, serta mengendalikan penerbitan bersama UTM.

Seterusnya majlis penyerahan surat persetujuan untuk mengendalikan konferen antarabangsa bersama yang kedua dalam tahun 2015 juga antara ITB dengan UTM. Pengurusan ITB dan semua delegasi UTM menjadi saksi majlis ringkas penyerahan dan penerimaan surat persetujuan menjadi penganjur bersama (co-host) dalam mengendalikan konferen antarabangsa bersama berfokus kepada media kreatif yang disempurnakan oleh Pengarah UTM-IRDA dan rakan sejawat daripada ITB.

Delegasi UTM seterusnya dibawa menghadiri konferen anjuran bersama ITB dan UTM yang ketuai oleh Razak School. Delegasi UTM sempat mengikuti sesi ucaputama pertama dan kedua sehingga selesai sebelum bergerak ke Masjid Salman.

Lawatan ke Masjid Salman

Delegasi UTM telah menghadiri taklimat dan perbincangan dengan Pengarah Eksekutif Masjid Salman yang terletak kira-kira 20 meter daripada ITB. Delegasi UTM didedahkan dengan fungsi Masjid Salman terhadap pembangunan dan pembentukan mahasiswa di instituasi pengajian tinggi bukan sahaja di ITB tetapi juga universiti atau institusi pengajian tinggi lain yang berdekatan. Bahkan Masjid Salman ini turut melibatkan komuniti setempat dalam pelbagai program pembangunan. Walaupun Masjid Salman terletak diluar kawasan ITB tetapi mempunyai peranan dan kerjasama dengan ITB dalam membina tingkahlaku pelajar. Masjid ini amat berbeza dengan masjid lain yang terletak dalam kampus di negara Indonesia. Walaupun Masjid ini terletak di luar dan bukan dibawah kelolaan ITB tetapi menjalankan peranan seolah-olah ianya berada dalam pengurusan dan kelolaan ITB. Masjid Salman mengatur beberapa modul dan kelas untuk pembangunan pelajar dan juga masyarakat setempat. Masjid Salman ini boleh dikunjungi oleh pelajar dan komuniti yang bukan beragama Islam. Kandungan pengajian di masjid ini digunakan dalam pengajian atau pendidikan keagamaan di Masjid lain. Masjid Salman telah dijadikan contoh pusat dalam pembangunan pelajar pelbagai peringkat usia.

Lawatan ke Universiti Pendidikan Indonesia (UPI)

Delegasi UTM telah membuat kunjungan dan perbincangan dengan wakil UPI iaitu Pengarah Program Kerjasama dan Dekan Fakulti Teknologi dan Vokasional. Rektor UPI dan semua Timbalan Rektor telah diminta menghadiri mesyuarat mengejut dengan Lembaga Pengarah di Jakarta. Universiti ini sangat terkenal di Indonesia dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (PTV). Bahkan ramai staf daripada UPI menjadi “Leading Figure” di rantau ASEAN dalam bidang PTV. Pihak UPI telah menunjukkan minat untuk membincangkan kerjasama yang boleh dijalankan oleh FP UTM dalam pelbagai aspek dalam PTV termasuklah membuat pertukaran pelajar dan staff.

Makan Malam Bersama Alumni UTM dan Mantan Pensyarah UTM

Lawatan delegasi UTM diakhiri dengan majlis makan malam bersama dengan alumni UTM di Bandung. Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran mantan pensyarah UTM pada tahun 1972-1974 iaitu Dr Syamsir yang kini masih berkhidmat dengan ITB sebagai Professor Emeritus. Alumni UTM di Bandung telah menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam memartabatkan UTM. Alumni UTM ini telah mengendalikan beberapa siri pertukaran pelajar dan penyeliaan PhD bersama dengan beberapa orang staf UTM. Kesemua alumni yang dapat dihubungi ini sedang berkhidmat dengan ITB. Mereka telah berdaftar dengan pejabat alumni UTM sebaik tamat pengajian di UTM.

Explore More