April 20, 2024

Search
Close this search box.

Perpustakaan Raja Zarith Sofiah berkonsep perpustakaan penyelidikan bertaraf dunia

JOHOR BAHRU 30 September 2014 – Tunku Temenggong Johor, Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim berkenan memasyhurkan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini yang merupakan sebuah perpustakaan penyelidikan bertaraf dunia.

Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM merupakan perpustakaan penyelidikan yang dibangunkan di bahagian barat daya tapak UTM diberi nama sempena dengan nama Canselor UTM ke-empat.

PRZS yang mula beroperasi pada September 2014 merupakan sebahagian daripada pembangunan Rancangan Malaysia ke-9 di UTM. Berkeluasan 8,250 meter persegi, bangunan ini berupaya menampung kapasiti seramai 2,000 orang dalam satu-satu masa.

Perpustakaan setinggi empat tingkat ini mampu memuatkan sehingga 500,000 buah bahan bercetak bagi memenuhi keperluan pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, perundingan dan penerbitan bertaraf dunia.

Seiring dengan itu, PRZS dilengkapi dengan kemudahan ICT dan maklumat digital yang lengkap dan kemudahan pengaksesan maklumat melalui perkhidmatan internet yang cepat dan cekap.

 

Koleksi Unik di Galeri Penyelidik dan Galeri Raja Zarith Sofiah

Galeri Penyelidik yang terdapat di PRZS ini memaparkan data dan maklumat bagi hasil kejayaan penyelidikan oleh penyelidik tersohor UTM. Ia bagi menghargai ketokohan serta sumbangan penyelidik UTM dalam pengkayaan ilmu pengetahuan untuk kebaikan sejagat.

Galeri ini adalah hasil usaha pihak perpustakaan UTM dalam mengurus data penyelidikan atau juga dikenali sebagai ‘Research Data Management’ dalam kalangan penyelidik di UTM.

Usaha perpustakaan ini sangat penting bagi memastikan kitaran proses sesuatu penyelidikan didokumen, direkod untuk kemudahan rujukan bagi sebarang pembangunan penyelidikan berkaitan dimasa hadapan. Malahan penubuhan galeri ini juga adalah sebahagian usaha menarik minat masyarakat terutamanya generasi muda terhadap budaya penyelidikan dan inovasi.

Sebagai perintis, Galeri Penyelidik di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah ini akan memaparkan ketokohan Prof. Ahmad Fauzi bin Ismail yang merupakan penyelidik terkemuka yang telah banyak menyumbang kepada penyelidikan di Malaysia dan juga diperingkat dunia.

Galeri Raja Zarith Sofiah pula merupakan sebuah galeri istimewa yang menyimpan koleksi   hasil karya dan koleksi peribadi Yang Mulia Raja Zarith Sofiah. Koleksi di Galeri ini sangat bermakna dan membuktikan bahawa Tuanku begitu rapat dan mencintai budaya keilmuan melalui sumbangan buku tersebut yang mana boleh dikongsi bersama masyarakat UTM dan sekitarnya.

Dengan keindahan rekabentuk bangunan Perpustakaan yang menerapkan elemen kehijauan alam sekitar serta keunikan koleksinya, PRZS dijangka mampu menarik warga UTM dan masyarakat sekitarnya untuk menggunakan kemudahan yang terdapat di sini secara optimum bukan sahaja untuk menimba ilmu tetapi juga sebagai tempat rekreasi yang menyenangkan.

Dalam Majlis yang sama, turut diadakan adalah pelancaran buku karya Yang Dipertua Majlis Jemaah DiRaja Johor, Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim bin Ramli yang merupakan Karyawan Tamu UTM bertajuk ‘Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden, 1855-2012’.

Buku ini mendokumenkan susur galur Kesultanan Johor bertujuan memastikan sejarah Kesultanan Johor didokumen sebagai bahan rujukan yang sahih untuk penyelidikan dan juga pengetahuan generasi akan datang .

Peranan perpustakaan masa kini sangat besar dan mencabar dalam mencapai hasrat untuk mewujud serta menyuburkan eko-sistem keilmuan di UTM. Sokongan dan usaha yang telah dijalankan oleh Perpustakaan UTM selama ini diakui antara faktor penentu kejayaan mencapai hasrat tersebut .

Dari itu, pembangunan PRZS adalah bukti komitmen dan pengiktirafan pengurusan UTM terhadap kepentingan Perpustakaan dalam memartabatkan budaya keilmuan di UTM dan masyarakat sekitarnya.

Penubuhan perpustakaan ini juga boleh menjadi pemangkin kepada pembentukan gedung ilmu yang dapat dioptimumkan penggunaannya bagi peningkatan tahap ilmu pengetahuan masyarakat UTM serta masyarakat am disekitarnya.

Pemasyhuran PRZ 2

Explore More