April 26, 2024

Search
Close this search box.

Naib Canselor UTM Menghadap Hormat Sultan Perak

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar bersama para pegawai kanan universiti yang berasal dari negeri Perak Darul Ridzuan telah menghadap hormat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
Sesi menghadap hormat itu telah berlangsung di Istana Perak, Changkat Persekutuan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.
Antara objektif utama sesi menghadap hormat itu adalah bagi menyembah maklum Projek Penyelidikan dan Kerjasama UTM dengan kerajaan Negeri Perak di samping mempersembahkan Buku terbaru Penerbit UTM bertajuk : Tun Abdullah Ayub – Riwayat Seorang Pentadbir (Ketua Setiausaha Negara 1979 – 1981).
Projek Penyelidikan yang dijalankan secara usahasama dengan Kerajaan negeri Perak antaranya adalah ‘High Impact Research and Social Corporate Responsibility Projects in Royal Belum, Perak’.
Antara matlamat utama projek ini dijalankan adalah bagi mempromosikan kepelbagaian disiplin penyelidikan di Royal Belum yang berimpak tinggi di samping melakukan pemindahan teknologi dan kepakaran penyelidikan bagi faedah rakyat dan negara.
Naib Canselor turut memohon sudi Duli Tuanku Sultan Perak bagi berangkat mencemar Duli menyampaikan Syarahan Diraja kepada warga UTM bertajuk ‘University and Nation Building’.
Turut mengiringi Naib Canselor dalam sesi menghadap hormat ini adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Azraai Kassim dan juga Dekan Sekolah Razak UTM Dalam Kejuruteraan dan Teknologi Termaju (Razak School), Prof. Dr. Awaluddin Mohamed Shaharoun.

Prof. Wahid (dua kanan) memperkatakan sesuatu mengenai projek penyelidikan UTM dengan Kerajaan Negeri Perak kepada Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak di Istana Perak, Bukit Persekutuan ketika sesi menghadap hormat.
Prof. Wahid (dua kanan) memperkatakan sesuatu mengenai projek penyelidikan UTM dengan Kerajaan Negeri Perak kepada Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak di Istana Perak, Bukit Persekutuan ketika sesi menghadap hormat.

Explore More