Disember 14, 2024

Search
Close this search box.

UTM dan MiSHA melancarkan program ‘OSH In Schools”

Buat julung kalinya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Malaysian Industrial Safety & Health Association (MiSHA) telah melancarkan program ‘OSH in Schools’ yang bertujuan mewujudkan kesedaran tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sektor pendidikan. Perlancaran pertama program ini telah diadakan di Sekolah Menengah Sains Semberong, Kluang Johor dan telah disertai oleh seramai 170 orang pelajar.

OSH atau nama penuhnya “Occupational Safety and Health” bermaksud keselamatan dan kesihatan pekerjaan, merupakan satu budaya yang perlu diterapkan selaras dengan visi negara untuk menjadi sebuah negara bertaraf maju. Ceramah berkaitan keselamatan dan kesihatan di sekolah telah disampaikan oleh Presiden Malaysian Industrial Safety and Health Association Encik Aziz Bin Basiran. Beliau telah mengenengahkan aspek-aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang perlu diterapkan di sekolah demi memartabatkan budaya keselamatan dan kesihatan sejak dari bangku sekolah lagi.

“Melalui program ‘OSH In Schools’, pihak kami berharap agar ia dapat menarik perhatian pihak sekolah tentang kepentingan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang baik untuk diterapkan di sekolah. Oleh itu, kesedaran OSH tidak seharusnya terhad kepada guru-guru dan kakitangan sahaja malah ianya harus diperluas kepada pelajar,” ujar Encik Aziz Bin Basiran.
“Umumnya, ramai yang tidak menyedari bahawa sekolah juga merupakan salah satu tempat kerja dan ia bukanlah hanya sekadar institusi menuntut ilmu. Maka adalah menjadi satu kemestian untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di sekolah dengan menitikberatkan beberapa aspek yang sering tidak diambil berat seperti Pelan Tindakan Kecemasan, kebersihan, susun atur dan pengurusan bahan kimia,” ujarnya lagi.

Di dalam program ini, beberapa aktiviti telah dijalankan seperti ceramah keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah, kerjaya di dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, cara pemakaian alat perlindungan diri yang betul serta pertandingan Hazard Hunt.
Menurut Pengarah program ‘OSH In Schools’, Encik Abd Mutalib Bin Abd Gapar, penerapan tentang kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di peringkat awal adalah penting bagi mewujudkan suasana kerja yang selamat dan sihat. Pihak kami berharap agar program ini akan memberi manfaat kepada pihak pengurusan sekolah khusunya kepada guru-guru, kakitangan dan pelajar.

Program ini telah diteruskan lagi dengan mengadakan jelajahnya yang kedua iaitu ke utara tanahir, Kedah Darul Aman. Sekolah Kebangsaa Sultan Alaudin, Jitra Kedah telah menjadi tuan rumah bagi jelajah yang kedua ini dan fokus pada kali ini adalah kepada Pelan Tindakan Kecemasan dan rawatan kecemasan (first aid) jika berlaku sesuatu kemalangan.

Menurut Abd Mutalib lagi, program ini telah dibahagikan kepada beberapa fasa dan program jelajah ini merupakan fasa pertama bagi projek tersebut.

Bagi fasa kedua pula, beberapa pelajar akan mewakili UTM untuk pergi ke United Kingdom dan melihat sendiri bagaimana penerapan budaya OSH di sana dan akan mengadaptasi pula di sebuah sekolah yang akan dijadikan anak angkat bagi projek tersebut.

“Lawatan ke United Kingdom adalah bertujuan untuk melihat sendiri bagaimana penerapan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan diterapkan di sekolah-sekolah di UK dan kami akan cuba untuk mengadaptasi apa yang telah mereka lakukan dan akan memilih sebuah sekolah untuk dijadikan sekolah projek bagi program OSH In School ini,” ujarnya lagi.

Bagi fasa ketiga pula, mereka akan membangunkan sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah angkat tersebut di mana sekolah tersebut akan mempunyai manual dan prosedurnya sendiri berlandaskan standard OHSAS 18001:2007.

Bagi penutup bagi program tersebut, mereka akan mendapatkan persijilan dari SIRIM untuk persijilan OHSAS 18001:2007 bagi sekolah tersebut dan akan mendapatkan pengiktirafan dari Malaysian Book of Records sebagai sekolah pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan seumpama itu.

Menurut Abd Mutalib lagi, pasukan mereka akan mengadakan perlancaran program di Universiti Teknologi Malaysia bersama-sama dengan penaja-penaja mereka dan menjemput pengamal-pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan untuk turut sama bagi menunjukkan koseriusan mereka tentang betapa pentingnya kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan sejak dari awal lagi.

 

Explore More