April 19, 2024

Search
Close this search box.

UTM terap elemen kelestarian pada warganya.

JOHOR BAHRU, 22 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menerapkan unsur kelestarian dalam penggunaan tenaga elektrik dan air kepada semua lapisan warganya.

Tindakan ini adalah sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan yang memperkenalkan tindakan berjimat cermat dalam membelanjakan wang negara.

Pengarah Program Kempen Kesedaran Alam Sekitar UTM 2014, Wan Muhammed Hazem Wan Mohd Yusoh berkata pengurusan universiti telah mengambil langkah penjimatan tetapi hanya terhad kepada staf dan pengurusan universiti sahaja.

“Memang kita ada ambil tindakan menjalankan kempen penjimatan tetapi hanya kepada staf dan belum lagi kepada mahasiswa yang tinggal di kolej-kolej kediaman.

“Bagi memperkenalkan dasar ini dengan lebih berkesan, kita di peringkat Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) akan meluaskan lagi kempen ini kepada pelajar secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Alam Sekitar 2014 peringkat UTM yang berlangsung di Dewan Banquet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim.

Perasmian telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Kanan (Teknologi Hijau) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Mohd. Rosli Hj. Abdullah yang mewakili Timbalan Menterinya, Yang Berhormat Dato’ Seri Di Raja Mahdzir Khalid.

Menurutnya lagi, pelbagai aktiviti akan dijalankan dalam tempoh sepuluh hari kempen ini yang bermula pada 21 Mac sehingga 29 Mac 2013.

“Fokus kita pada kali ini adalah kesedaran alam sekitar dengan penekanan kepada unsur-unsur kelesterian.

“Kami akan bergerak aktif memberikan penerangan kepada mahasiswa yang tinggal di kolej-kolej kediaman di samping memperkenalkan idea-idea baru kepada pengurusan universiti bagi merealisasikan pelan penjimatan ini,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah pameran oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), lawatan ke loji penapisan air TH Fish Base di Batu Pahat, Johor serta khidmat komuniti di Taman Perling, Johor Bahru.

“Selain itu, kami juga akan menganjurkan program Johor Earth Hour 2014 dan sesi santai bersama dengan Yang Berhormat Dato’ Hj. Ayob Rahmat, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor di Arked Meranti.

“Dalam program ini, mahasiswa berpeluang bermesra dengan tokoh ini serta berdiskusi dengan lebih dalam mengenai aspek penjagaan alam sekitar di peringkat negeri,” katanya.

Acara anjuran MPMUTM ini turut juga mendapat sokongan daripada KeTTHA, Jabatan Alam Sekitar Malaysia dan Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia.

Turut hadir adalah Pengerusi Institut Pembagunan Fello UTM, Dr. Ahmad Johari Sihes mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz dan Pengarah Pejabat Pelestarian Kampus UTM, Dr. Irina Safitri Zen.

berita6

Dr. Johari (tiga kiri),Mohd Rosli dan Dr. Irina Safitri Zen ketika melancarkan Kempen Kesedaran Alam Sekitar di UTM Johor Bahru.

Explore More