April 18, 2024

Search
Close this search box.

UTM- Melaka Biotech meterai persefahaman bangunkan produk berasaskan bahan semulajadi tempatan

MELAKA, 12 Mac – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan dengan kerjasama dalam pembangunan produk berasaskan bahan semulajadi tempatan telah ditandatangani antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Perbadanan Bioteknologi Melaka (Melaka Biotech).

Naib Canselor, Prof. Ir. Dr. Wahid Omar telah menandatangani bagi pihak UTM manakala Melaka Biotech diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisham Badrudin.

Prof. Wahid berkata melalui perjanjian ini, kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk bekerjasama dalam proses pembangunan produk yang berasaskan bahan semulajadi tempatan dengan pengkhususan penghasilan produk nutraseutikal, kesihatan dan kosmetik.

“Jalinan kerjasama ini juga termasuk melakukan kerja-kerja pengekstrakan bahan mentah, formulasi produk dan penyelidikan secara kontrak antara dua pihak.

“Di samping itu, pihak Melaka Biotech juga akan memberikan penajaan kepada mana-mana kakitangannya yang berminat menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Bioproses di UTM,” katanya yang ditemui selepas majlis menandatangani persefahaman tersebut.

Turut hadir dalam majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Bija Sura, Blok Temenggung Seri Negeri itu adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Azraai Kassim, Pengarah Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) Prof. Ramlan Abdul Aziz, Dekan Penyelidikan Bioteknologi, Prof. Dr. Mohamad Roji Sarmidi dan juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir. Hj. Idris Hj. Haron sebagai saksi kepada perjanjian tersbut

melaka

Badrul Hisham (tiga kiri) dan Prof. Wahid Omar bertukar-tukar dokumen di Majlis Menandatangani MoU di Blok Temenggung Seri Negeri, Melaka Bandaraya Bersejarah

Explore More