April 24, 2024

Search
Close this search box.

Penganugerahan Biasiswa Berprestij Ainuddin Wahid Kumpulan Pertama UTM

IMG_7636

Universiti Teknologi Malaysia telah menganugerahkan biasiswa berprestij Ainuddin Wahid kepada lima (5) pelajar ijazah kedoktoran sebagai penerima kumpulan pertama biasiswa tersebut.

Dalam majlis Perhimpunan Bulanan Disember 2013 bersama warga UTM, Y. Bhg Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Dr. Wahid bin Omar telah mengumumkan penerima dan menganugerahkan biasiswa tersebut kepada Ain Nadia binti Mazlan daripada Fakulti Kejuruteraan Awam,  Nor Arlina binti Ahmad Ghani,  Mohd Nizam bin Mazenan dan Gan Hon Seng daripada  Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sharanjit Kaur a/p Bhatal Singh daripada Fakulti Komputeran.

Penerima telah menjalani saringan personaliti setelah memenuhi kriteria kelayakan asas dan juga telah menjalani sesi temubual yang diadakan bersama panel yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan). Pemilihan bukan sahaja berdasarkan kecemerlangan akademik malah menitikberatkan sahsiah dan perwatakan serta personaliti yang berketrampilan.

Penerima diharap akan menyambung kecemerlangan Allahyarham Tan Sri Ainuddin Wahid, sebagai Naib Canselor UTM pertama yang telah banyak menyumbang jasa dan keringat untuk pembangunan UTM kearah universiti cemerlang. Pemilihan penerima ini seterusnya dapat memenuhi aspirasi penubuhan Tabung Biasiswa Ainuddin Wahid, tabung yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 27 September 2011 dengan dana sebanyak RM10 juta dan  akan disalurkan secara berperingkat selama 5 tahun.

Biasiswa Ainuddin Wahid yang berprestij ini bernilai lebih kurang RM342,000 setiap satu, dan ia bukan sahaja menawarkan  bayaran sara hidup yang tinggi, malah memberi peluang kepada penerima untuk mengikuti penempatan penyelidikan selama 6 bulan di universiti ternama dunia seperti Oxford, Cambridge, Imperial College, London, MIT dan Harvard.

Penempatan ini diharap dapat memberi pendedahan kepada budaya penyelidikan cemerlang serta membina dan memantapkan rangkaian  penyelidikan UTM khususnya dan Malaysia amnya dengan universiti ternama dunia. Selain daripada itu, insentif penerbitan, pengkomersilan,  pembangunan modal insan dan pembiayaan penyelidikan juga ditawarkan.

Penganugerahan ini diharap menjadi titik tolak kepada penjanaan kecemerlangan akademik terutamanya dalam penyelidikan yang akan menyumbang kepada Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi

Explore More