April 20, 2024

Search
Close this search box.

UTM menang emas dan anugerah khas di NRIC ’13

Mahasiswa UTM merai kemenangan bersama hadiah masing-masing.
Mahasiswa UTM merai kemenangan bersama hadiah masing-masing.

Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) cemerlang di Novel Research & Innovation Competition 2013 (NRIC’ 13) apabila memenangi hadiah Emas dan Anugerah Khas.

Muhamad Hisyam Idris dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, pingat, piala iringan dan sijil apabila memenangi pingat emas kategori kejuruteraan dan Moto-Invention Award dipertandingan yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 20 hingga 22 Ogos lalu.

Beliau membangunkan produk Smart Glove for Hearing Impaired People yang bertujuan untuk membantu golongan  kurang daya pendengaran untuk berkomunikasi dengan masyarakat.

Sistem yang dibangunkan berasaskan integrasi antara mikropengawal, aplikasi android dan flex sensor itu telah menambat hati juri.

NRIC ’13 merupakan acara tahunan yang telah dianjurkan oleh USM sejak tahun 2006 bertujuan mengumpulkan projek-projek tahun akhir yang dihasilkan oleh mahasiswa-mahasiswa di IPTA seluruh negara untuk dipamerkan dan dikongsi dengan masyarakat.

Selain Smart Glove for Hearing Impaired People, dua lagi produk inovasi ciptaan mahasiswa UTM yang meenyertai NRIC ’13 ialah  Ball Clay Ultrafiltration Membrane By Gel Casting Method yang dibangunkan oleh Muhammad Kamal bin Muaiddin (FKM) dan Gesture Enabled Interactive Computing Device dibangunkan oleh Tee Kok Ting (FKE) yang masing-masing telah membawa pulang pingat gangsa.

Pada tahun ini, lebih 120 kumpulan daripada institusi pengajian dari dalam dan luar negara telah mengambil bahagian.

Produk yang dibawa bertanding merupakan  projek-projek tahun akhir yang terpilih dan sebahagian besar dibangunkan hasil bantuan Skim Geran Inovasi dari Pusat Inovasi Mahasiswa (UTM CSI).

Explore More